BANGKOK: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Bangkok mengeluarkan amaran perjalanan menasihatkan rakyatnya supaya menjauhi kawasan dalam radius 50 kilometer dari sempadan Thailand–Kemboja berikutan situasi keselamatan yang tidak dapat dijangka.
Konflik antara kedua-dua negara kembali memuncak menyaksikan Thailand melancarkan serangan udara terhadap Kemboja pada Isnin, sekali gus mencetuskan pertempuran terbaharu di kawasan yang sudah lama dipertikaikan.
Setakat ini, empat orang awam Kemboja dan seorang anggota tentera Thailand terkorban, sementara puluhan lagi cedera di kedua-dua pihak.
Ketegangan memuncak selepas Bangkok menangguhkan perjanjian susulan yang dirangka dengan sokongan Presiden AS, Donald Trump bulan lalu berhubung usaha meredakan permusuhan.
Thailand menuduh periuk api di kawasan sempadan mencederakan beberapa anggotanya, mencetuskan rentetan tembakan sporadik sebelum pertempuran besar-besaran meletus semula hujung minggu lalu.
Menurut Tentera Wilayah Kedua Thailand, lebih 35,000 penduduk dipindahkan dari kawasan berisiko. Keadaan itu mengulangi suasana panik yang pernah melanda Julai lalu apabila pertempuran lima hari mengorbankan 43 nyawa dan memaksa 300,000 penduduk di kedua-dua negara melarikan diri.
Menteri Penerangan Kemboja, Neth Pheaktra, mengesahkan empat orang awam terbunuh dalam serangan artileri Thailand di Preah Vihear dan Oddar Meanchey, manakala sekurang-kurangnya 10 lagi cedera termasuk seorang wartawan yang terkena serpihan roket.
Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa kedua-dua negara menahan diri serta mengelakkan konflik daripada terus merebak.
Setiausaha Agung PBB António Guterres turut menyeru Bangkok dan Phnom Penh kembali mematuhi gencatan senjata yang dimeterai pertengahan tahun ini.










