RUKUN Negara kekal menjadi asas penting bagi negara ini sepanjang zaman kerana peranannya sebagai ideologi nasional yang membimbing arah kehidupan bernegara.
Seperti tercatat dalam dokumen rasmi, Rukun Negara bukan sekadar rangka prinsip tetapi gagasan nilai yang diyakini mampu membentuk sikap dan tindakan rakyat agar menjadi warganegara bertanggungjawab, khususnya dalam konteks kehidupan bersama sebagai sebuah negara.
Kepentingan Rukun Negara menjadi semakin besar dan mendesak kerana pada asalnya digubal sebagai asas perpaduan negara dan integrasi nasional. Dalam konteks ini, perpaduan negara merujuk hubungan harmoni antara pelbagai etnik manakala integrasi nasional pula merujuk penyatuan antara wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia.
Rukun Negara sebagai program penyatupaduan nasional terbentuk ekoran peristiwa 13 Mei 1969, yang menggugat keamanan dan keutuhan negara.
Sehubungan itu, Rukun Negara digubal dengan matlamat mencapai lima cita-cita nasional melalui lima prinsip yang perlu diamalkan oleh setiap warganegara.
Hasrat agar prinsip-prinsip ini benar-benar dihayati masih belum tercapai seperti yang diinginkan. Hal ini berlaku kerana bagi kebanyakan orang, Rukun Negara hanya diingati melalui lima prinsipnya semata-mata. Sedangkan yang sepatutnya berlaku ialah prinsip-prinsip tersebut bukan sahaja dihafal tetapi turut difahami dan dihayati agar dapat diamalkan secara menyeluruh.
Inilah cara sebenar namun tidak pun berlaku sebegitu. Sebaliknya yang berlaku hanya diingati tanpa disertai kefahaman mendalam untuk diamalkan dalam bentuk penerapan.
Setelah disedari kekurangan ini, Rukun Negara dialihkan penekanannya kepada mengingati lima cita-cita negara itu. Lima cita-cita itu ialah mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya, memelihara cara hidup demokratik, mencipta masyarakat yang adil dengan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, membentuk sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak serta membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi.
Sewajarnya lima cita-cita negara ini, seperti lima prinsip itu diberi kefahaman setelah diketahui untuk diterapkan dengan sebaik-baiknya nanti.
GUBAL KURIKULUM
Bagi memastikan Rukun Negara dihayati dengan sepenuhnya, terdapat keperluan untuk mewujudkan program pendidikan khusus yang menekankan pemahaman dan pengamalan nilai-nilainya.
Dengan ini, kurikulum khusus dengan sukatan pelajarannya hendaklah segera digubal. Kurikulum dan sukatan pelajaran ini harus mengikut peringkat usia atau tahap persekolahan. Ia perlu dikaji semula setiap beberapa tahun agar bersesuaian dari semua segi dengan peredaran masa.
Pendidikan Rukun Negara boleh dilaksanakan melalui aktiviti kokurikulum, iaitu program yang memperkukuh pembelajaran di dalam bilik darjah melalui pengalaman praktikal dan kegiatan luar kelas. Pendekatan ini sesuai apabila nilai-nilai Rukun Negara sukar dimasukkan secara langsung ke dalam kurikulum akademik sedia ada.
Dengan adanya pendidikan itu, Rukun Negara pasti meninggalkan kesan penghayatan yang baik, setelah difahami dan diamalkan, sesudah dibina kurikulum dengan sukatan pelajarannya sekali.
Untuk kurikulum dan sukatan pelajaran itu, nilai kesyukuran boleh dimasukkan untuk pemahaman tentang prinsip Kepercayaan kepada Tuhan. Dengan ini, selain untuk memperingati tentang kewujudan Tuhan dan semua perkara yang dilakukan Tuhan bagi manusia, nilai ini akan membantu dalam mengurangkan tekanan agar kita lebih tenang dalam waktu kesusahan.
Seterusnya untuk prinsip Keluhuran Perlembagaan. Kurikulum dan sukatan pelajarannya boleh, antaranya bersifat penjelasan tentang beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini penting agar tidak wujud pertikaian pada beberapa perkara itu.
Perkara itu harus diterima kerana sudah wujud persetujuan bersama pada Perjanjian Etnik 1955, yang lebih dikenali secara longgarnya sebagai Kontrak Sosial.
Antaranya perkara itu ialah Perkara 3 tentang Agama Persekutuan dan Perkara 152 mengenai Bahasa Kebangsaan. Perkara 153 adalah berkenaan dengan Pengekalan Kouta Perkhidmatan, Permit dan lain-lain untuk Kaum Melayu dan Pribumi Sabah dan Sarawak.
Walaupun Islam adalah agama persekutuan, namun agama lain tidak sesekali dihalang penganutannya. Malah dijamin boleh terus wujud dengan aman di segenap pelusuk tanah air.
Begitu juga dengan bahasa lain yang dibenarkan kecuali untuk penggunaan rasmi yang wajib menggunakan bahasa Melayu.
Selain melindungi kedudukan istimewa etnik Melayu dan pribumi lain, kepentingan sah etnik bukan Melayu terus dijamin agar tidak sesekali terabai.
Melalui pendidikan ini, Rukun Negara bukan sahaja akan difahami dengan mendalam, juga pasti dihayati secara ikhlas. Dengan ini, wujudlah rasa kepunyaan terhadap negara dan rasa kebersamaan sebagai satu komuniti nasional. Ini penting untuk menggemblengkan seluruh rakyat untuk apa-apa jua usaha dan tindakan nasional yang kolektif sifatnya.
Sesungguhnya, Rukun Negara bukan sekadar penting, malah menjadi rujukan utama dalam penggubalan setiap dasar negara, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Dengan ini, ia juga merupakan wadah penting dalam usaha mengurus tadbir negara.
Sebetulnya Rukun Negara berperanan besar dalam hubungan antarabangsa, khususnya pada dasar luar negara. Melalui Rukun Negara, negara-negara lain bukan sahaja dapat mengetahui, malah memahami kedudukan Malaysia dalam pelbagai aspek, termasuk urus tadbir sebagai tanah Melayu-Islam serta moraliti nasional yang berpandukan ajaran Islam.
Dengan pengetahuan dan pemahaman ini, negara lain akan menghormati Malaysia dengan adanya. Hal ini penting kerana ia mendukung kesemua cita-cita dan prinsip Rukun Negara. Dengan ini, kedaulatan Malaysia selalu utuh di persada dunia.
Oleh kerana Rukun Negara membawa pelbagai manfaat, ia tidak sepatutnya diabaikan. Sebaliknya, mesti dipertahankan, diperbaiki dan diperkukuh secara berterusan. Gagasan Rukun Negara perlu diperkasakan melalui pencarian ilmu yang berterusan, kerana sebagai ideologi negara, ia berperanan sebagai panduan dan pedoman hidup bagi setiap rakyat.
Melalui Rukun Negara, Malaysia mempunyai matlamat jelas untuk dicapai dalam ranah kenegaraan. Ia wadah penyatuan penting yang mempromosi solidariti untuk perpaduan negara dan integrasi nasional pada setiap masa. Inilah yang dihasratkan pada cita-cita negara yang pertama.
Selain itu, Rukun Negara juga berperanan sebagai wadah pembentukan moral. Justeru, ia wajib membimbing rakyat agar berakhlak mulia, sekali gus merealisasikan nilai-nilai murni yang terkandung dalam prinsip terakhirnya.
Bahkan, Rukun Negara turut berfungsi sebagai wadah politik. Berdasarkan prinsip kedua, ketiga, dan keempat, cara hidup demokrasi yang diharapkan dalam cita-cita negara kedua bukan sahaja terus terpelihara, malah turut memastikan sistem pemerintahan Malaysia kekal stabil dan berkesan.
Dengan ini, Rukun Negara sebetulnya sebagai wadah memupuk perpaduan dan integrasi yang utuh, menjadi panduan penting dalam membentuk dasar negara dan sebagai kerangka mantap bagi kerakyatan Malaysia.
Oleh itu, Rukun Negara tetap penting pada setiap masa dan langsung tidak boleh diabaikan walaupun sejenak, apatah lagi bagi tempoh berdekad-dekad lamanya, dalam pemerintahan di negara ini.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










