Aktiviti dulang emas perlu kawalan ketat elak mudarat alam sekitar

Aktiviti dulang emas perlu kawalan ketat elak mudarat alam sekitar

KAMIL Abdullah menunjukkan kaedah mendulang emas di Sungai Tadoh, Kampung Kalai, Jeli, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Aktiviti mendulang emas yang diluluskan Kerajaan Negeri Kelantan kepada penduduk di negeri ini perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati kerana risiko kerosakan alam sekitar boleh berlaku jika kawalan longgar.

Pensyarah Kanan Jabatan Geosains Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, Dr. Mohd. Syakir Sulaiman berkata, ia melibatkan kerosakan sungai, konflik kawasan selain kehilangan sumber emas secara tidak mampan.

“Hasil kajian penyelidik UMK mendapati aktiviti mendulang tanpa kawalan menyebabkan peningkatan kekeruhan air, hakisan tebing sungai, gangguan habitat akuatik dan kadangkala wujudnya longgokan sisa mendulang yang mengubah aliran sungai.

“Walaupun mendulang itu kecil skalanya, jika dilakukan serentak oleh ramai orang di lokasi sensitif, impaknya tetap ketara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Syakir berkata, mengambil kira perkara itu UMK menekankan keperluan zon khas mendulang dan garis panduan teknik mendulang yang mesra alam.

“Tidak salah memberi kebenaran (mendulang emas) namun mesti dikawal. Jika ada lesen, zon khas, latihan dan pemantauan, aktiviti mendulang boleh menjadi sumber ekonomi komuniti sambil meminimakan kesan alam sekitar.

“Langkah terbaik bagi mengurangkan risiko itu dengan melaksanakan perlombongan terkawal berasaskan komuniti seperti diamalkan di beberapa negara di dunia,” ujarnya.

Beliau berkata, secara geologi, potensi emas di Kelantan tertumpu dalam beberapa zon yang menjadi sebahagian daripada ‘Central Gold Belt’ dan antara kawasan dikenal pasti memiliki mineral itu adalah Gua Musang (Pulai dan Galas), Tanah Merah (Sokor) dan Jeli.

“Semua kawasan ini berkait dengan struktur geologi, batuan metamorf dan batuan volkanik yang menyokong kewujudan emas. Setakat ini tiada satu angka rasmi yang mewakili keseluruhan negeri kerana eksplorasi masih berjalan dan deposit emas tidak seragam. 

“Namun beberapa kawasan seperti Sokor Gua telah membuktikan pengeluaran emas komersial oleh syarikat berlesen. Ini menunjukkan sumbernya wujud dan ekonominya terbukti, walaupun jumlah keseluruhan negeri perlu kepada kajian lanjutan yang lebih teliti dan menyeluruh.” katanya.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, ledakan video tular di TikTok memaparkan individu yang mendakwa mendulang emas mampu menjana pendapatan lumayan menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Mana tidaknya, ada yang beranggapan keputusan Kerajaan Negeri Kelantan membenarkan aktiviti itu secara sah mampu menjadikan mereka yang tinggal berhampiran kawasan sumber mineral bergelar jutawan sekelip mata.

Namun, realitinya jauh berbeza apabila penduduk di Kampung Kalai yang sudah mendulang emas di Sungai Tadoh lebih 100 tahun lalu memberitahu, aktiviti itu tidak pernah menjanjikan pulangan lumayan.

Sebaliknya, ia sekadar pendapatan sampingan yang diusahakan sebagai pelengkap rezeki harian selain mengukuhkan kantung kewangan keluarga.

Perkara itu diakui oleh Kamil Abdullah, 35, anak jati kampung tersebut yang mula mengenal aktiviti mendulang emas seawal usia enam tahun dan mewarisi pekerjaan turun-temurun keluar­ganya.-UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×