PETALING JAYA: Kerajaan menekankan kepentingan memperkukuh peranan penjawat awam sebagai penggerak utama penyampaian dasar dan pelaksanaan di lapangan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merangkumi kecekapan penyampaian maklumat (time-to-delivery) dan galakkan untuk peningkatan kemahiran (upskilling).
Katanya, usaha itu bagi memastikan penjawat awam kekal berdaya saing, responsif dan selari dengan perkembangan dunia terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), ekonomi dan hal ehwal antarabangsa.
“Saya turut melontarkan beberapa pandangan untuk kita gerakkan bersama termasuk keperluan memperkukuh peranan penjawat awam sebagai penggerak utama.
“Saya berharap sedikit perkongsian pengalaman dan wawasan yang disampaikan dapat menyuntik inspirasi dan keyakinan kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan tekad dan berintegriti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pendapat itu dikongsi menerusi forum pada hari kedua Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam sempena program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku di Dataran Putrajaya hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, sesi forum itu juga membuka ruang kepada pemimpin negara untuk menjelaskan hala tuju secara terus.
“Saya amat menghargai sesi seperti ini kerana ia membuka ruang terus kepada kami di peringkat kepimpinan negara untuk menjelaskan hala tuju, dasar serta usaha yang sedang digerakkan terus kepada penjawat awam.
“Insya-Allah, bersama-sama kita akan terus menggerakkan negara ke arah masa depan yang lebih maju, stabil dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN










