DENPASAR: Polis Indonesia menahan seorang pelakon filem lucah bersama sekumpulan warga asing selepas mereka dipercayai cuba menghasilkan kandungan pornografi di sebuah studio di daerah Badung, lapor Jakarta Globe.
Tangkapan itu dilakukan susulan laporan awam berhubung rakaman video lucah yang disyaki dirakam di Bali.
Siasatan awal mendapati sebuah akaun Instagram milik individu berkenaan didakwa memuat naik beberapa klip aktiviti kumpulan itu, termasuk penggunaan sebuah trak pikap biru terang sebagai prop.
Bertindak atas maklumat tersebut, polis menyerbu sebuah studio di Pererenan, Mengwi pada Khamis lalu dan menahan 19 individu, termasuk seorang wanita yang dipercayai pelakon utama filem lucah terbabit.
Turut dirampas ialah peralatan kamera, prop penggambaran, kondom, pelincir, pemacu USB serta dokumen kenderaan berkait trak pikap itu.
Ketua Polis Badung, Timbalan Pesuruhjaya Polis M Arif Batubara, berkata seramai 14 warga Australia berumur antara 19 hingga 40 tahun ditahan untuk disoal siasat sebelum dihantar pulang ke kediaman masing-masing di Bali pada malam Jumaat.
Mereka kini diletakkan di bawah pengawasan polis dan imigresen sementara siasatan diteruskan.
“Selepas menerima laporan, kami menyerbu studio yang disyaki menjadi lokasi penghasilan video untuk tujuan edaran dalam talian,” katanya sambil menegaskan semua peralatan serta lokasi kejadian telah disita untuk pemeriksaan lanjut.
Empat warga Britain, termasuk pelakon wanita berusia 26 tahun itu, kekal ditahan bagi membantu siasatan.
Polis Indonesia mengesahkan kes berkenaan disiasat di bawah undang-undang antipornografi negara itu, dengan potensi pertuduhan diteliti berdasarkan bukti dan bahan digital yang dirampas.











