PETALING JAYA: Pemergian bekas Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada umat Islam di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Allahyarham merupakan tokoh agama dihormati yang banyak berjasa, selain dikenali sebagai imam besar yang paling lama berkhidmat di Masjid Negara.
Katanya, Allahyarham juga seorang pendidik, mursyid serta tokoh al-Quran yang mencurahkan ilmunya tanpa jemu, malah khidmat sebagai hakim Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa turut mengangkat nama Malaysia di mata dunia.
“Pagi ini, kita menerima perkhabaran duka mengenai pemergian seorang tokoh agama yang amat dihormati di negara ini.
“Allahyarham adalah insan yang lembut tutur katanya, tinggi ilmunya dan besar jasanya dalam memartabatkan al-Quran, ilmu dan dakwah. Keperibadian beliau akan kekal menjadi contoh sepanjang zaman.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian kehilangan ini.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima segala amal solehnya dan menempatkan rohnya dalam kalangan para solihin,” katanya menerusi hantaran di facebook, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Allahyarham meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 81 tahun.
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam kenyataan berkata, berita pemergian tokoh itu dimaklumkan melalui hantaran Facebook sekitar pukul 3 pagi. – UTUSAN










