Mendulang emas bukan ‘lubuk’ kaya

Mendulang emas bukan ‘lubuk’ kaya

SUNGAI Tadoh, Jeli, Kelantan menjadi salah satu lokasi yang diwarta untuk mengulang emas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Ledakan video tular di TikTok memaparkan individu yang mendakwa mendulang emas mampu menjana pendapatan lumayan menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Mana tidaknya, ada yang beranggapan keputusan Kerajaan Negeri Kelantan membenarkan aktiviti itu secara sah mampu menjadikan mereka yang tinggal berhampiran kawasan sumber mineral bergelar jutawan sekelip mata.

Dengan harga emas yang terus melambung membuatkan ramai mula memasang angan-angan untuk menjadikan aktiviti mendulang sebagai kerjaya tetap seolah-olah sungai di pedalaman negeri ini menyimpan emas bertimbun yang ha­nya menunggu untuk dikaut.

Namun, realitinya jauh berbeza apabila penduduk di Kampung Kalai yang sudah mendulang emas di Sungai Tadoh lebih 100 tahun lalu memberitahu, aktiviti itu tidak pernah menjanjikan pulangan lumayan.

Sebaliknya, ia sekadar pendapatan sampingan yang diusahakan sebagai pelengkap rezeki harian selain mengukuhkan kantung kewangan keluarga.

Perkara itu diakui oleh Kamil Abdullah, 35, anak jati kampung tersebut yang mula mengenal aktiviti mendulang emas seawal usia enam tahun dan mewarisi pekerjaan turun-temurun keluarganya.

“Kami di sini majoritinya penoreh getah. Dulang emas ini cuma kerja sampingan, bukan sumber kekayaan. Jujur saya katakan, apa yang tular di media sosial konon mendulang emas boleh jadi kaya cepat… tidak benar langsung.

“Kalau sungguh mahu dapat hasil banyak, kenalah mohon lesen lombong. Barulah lain ceritanya. Jika mendulang emas beri pulangan besar, sudah tentu penduduk di sini menjadi jutawan,” katanya ditemui Ming­guan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, kerja-kerja mendulang itu akan dimulakan selesai menunaikan solat Zuhur dan pulang ke rumah sekitar pukul 4 petang.

Katanya, kebiasaan waktu pagi dia akan keluar menoreh dan memberi haiwan ternakannya makan sebelum mendulang.

KETULAN emas yang terlekat di dulang kayu selepas kerja-kerja mendulang dilakukan di Sungai Tadoh, Kampung Kalai, Jeli, Kelantan. – MINGGUAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

BUKAN MUDAH

Menurut Kamil, realiti kerja mendulang emas bukan semudah paparan kandungan video yang dimuat naik di aplikasi TikTok atau laman sosial Facebook.

Katanya, ia memerlukan kudrat yang kuat selain berdepan risiko semasa berada di dalam sungai.

“Hendak dapat emas bukan mudah. Saya perlu turun ke sungai, gali guna penyodok, ang­kat pasir dan mula mendulang.

“Proses itu perlu dilakukan secara berulang kali. Tempoh masanya bukan sekejap untuk mendapatkan mineral tersebut dari dasar Sungai Tadoh,” katanya.

 

KETULAN emas yang terlekat di dulang kayu selepas kerja-kerja mendulang dilakukan di Sungai Tadoh, Kampung Kalai, Jeli, Kelantan.

NASIB
Bercerita lebih lanjut, Kamil memberitahu, kerja-kerja mendulang emas bergantung sepenuhnya kepada nasib selain usa­ha keras sepanjang melakukan aktiviti tersebut.

Katanya, secara purata setiap hari dia hanya mampu memperoleh emas seberat 0.09 gram sahaja.

“Emas di Sungai Tadoh sa­ngat halus seperti pasir. Kalau jumpa sebesar butir padi atau kepingan lebih besar yang dipanggil sebagai ‘nugget’ itu sudah dikira sebagai rezeki ‘terpijak’.

“Rezeki paling besar (emas) yang saya dapat sepanjang mendulang lebih 25 tahun ialah butir padi dan ‘nugget’,” ujarnya.

 

KAMIL Abdullah menimbang hasil emas yang diperoleh selepas melakukan kerja-kerja mendulang emas di Sungai Tadoh, Kampung Kalai, Jeli, Kelantan.

EMAS SUNGAI TADOH BERMUTU TINGGI

Kamil berkata, mutu emas di Sungai Tadoh disifatkan antara yang terbaik jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain di negeri ini termasuk Sokor, Tanah Merah.

“Kandungan emas 999 di kawasan ini lebih tua menjadikan ia lebih diminati selain mudah dijual.

“Emas di Sokor, Tanah Merah pula muda,” katanya.

 

LUBUK EMAS

Kampung Kalai sememang­nya dikenali sebagai ‘lubuk emas’ oleh penduduk setempat.

Menguatkan lagi hujah itu, Kamil berkata, kewujudan tero­wong emas berusia lebih 100 tahun yang dibina oleh Perancis menunjukkan aktiviti perlombongan dan mendulang emas di kawasan itu sudah berlaku sejak sekian lama.

“Sebelum kerajaan beri kebenaran, Sungai Tadoh sudah pun jadi tumpuan pendulang kerana emas ‘hanyut’ kerap ditemui.

“Kini selepas kebenaran diberi, makin ramai yang datang,” katanya.

 

KAMIL Abdullah menunjukkan emas yang diperoleh melalui kerja-kerja mendulang emas di Sungai Tadoh, Kampung Kalai, Jeli, Kelantan. – MINGGUAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

EMAS ADA PENUNGGU

Sementara itu, seorang warga emas Halimah Awang, 75, mendedahkan, emas mempunyai unsur-unsur mistik dan ‘berpenunggu’ yang mampu membuatkan individu menjadi ‘ralit’ semasa melakukan akti­viti mendulang.

Katanya, situasi itu dapat di­lihat apabila golongan lelaki turun ke sungai untuk mendulang emas pada hari Jumaat.

“Biasanya emas akan keluar banyak pada hari itu. Jumlah menjadi bertambah banyak sebaik sahaja solat Jumaat bermula,” dakwanya.

Halimah yang berpengalaman lebih 50 tahun mendulang emas mengakui adakalanya dia bermimpi kawasan yang mempunyai banyak sumber mineral tersebut.

“Mimpi itu ternyata benar apabila hasil yang diperoleh melalui aktiviti mendulang agak banyak berbanding sebelumnya.

“Selain itu, kehadiran ular atau lintah secara tiba-tiba se­ring dianggap petanda kewujudan banyak sumber mineral itu di kawasan tersebut. Jadi, situasi itu membuatkan pendulang menjadi ‘ralit’ untuk terus melakukan aktiviti tersebut,” ujarnya.

Utusan Malaysia pada 10 November lalu melaporkan, Kerajaan Kelantan akan membenarkan rakyat di negeri ini melombong emas menggunakan kaedah mendulang.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya akan mengeluarkan lesen mengikut syarat-syarat tertentu sebagai rekod. – MINGGUAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×