Belajar urus dompet, elak tekanan hidup di kampus

Belajar urus dompet, elak tekanan hidup di kampus

GAYA hidup yang tidak seimbang serta kekurangan ilmu dan disiplin dalam mengurus wang turut menjadi punca tekanan kewangan pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU pengurusan kewangan dalam kalangan pelajar kini semakin mendapat perhatian serius kerana bukan sahaja melibatkan aspek ekonomi tetapi juga mempengaruhi kesejahteraan mental dan akademik. 

Kehidupan pelajar abad ke-21 bukan sekadar cabaran akademik, malah turut menghadapi tekanan kewangan yang membebankan. Ramai pelajar institusi pengajian tinggi sukar menampung kos sara hidup yang meningkat setiap tahun. 

Gaya hidup yang tidak seimbang serta kekurangan ilmu dan disiplin dalam mengurus wang turut menjadi punca tekanan kewangan. 

Menurut laporan Bank Negara Malaysia dan Financial Education Network 2023, literasi kewangan belia Malaysia masih di bawah purata nasional, dengan ramai yang tiada tabungan tetap dan cenderung berbelanja melebihi kemampuan mereka.

Kos sara hidup pelajar universiti awam dianggarkan antara RM1,200 hingga RM1,800 sebulan, termasuk makanan, pengangkutan, penginapan dan bahan pembelajaran. 

Pelajar daripada keluarga B40 terasa beban ini lebih ketara walaupun menerima pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), yang jumlahnya bergantung pada pendapatan ibu bapa dan seringkali tidak mencukupi. Akibatnya, sebahagian pelajar terpaksa menangguh pembayaran yuran atau terlibat dengan hutang lain demi kelangsungan pengajian.

Tekanan kewangan turut diperburuk oleh pengaruh media sosial dan gaya hidup digital. Budaya ‘ikut trend’ mendorong pelajar berbelanja di luar kemampuan untuk mengekalkan imej sosial, termasuk membeli barangan mewah atau mengikuti trend terkini. 

Ramai akhirnya terperangkap dalam hutang dan kewangan tidak stabil, menambah stres dan gangguan kepada kehidupan harian. Sesetengah pelajar bergantung kepada pinjaman segera melalui aplikasi kewangan digital yang menawarkan kemudahan tetapi kadar faedah tinggi.

Kajian Xu & Rashid (2023) menunjukkan tekanan kewangan memberi kesan besar kepada kesihatan mental, sosial dan prestasi akademik. Pelajar yang mengalami kesukaran kewangan kerap merasa bimbang, murung, terganggu tidur dan stres, seterusnya melemahkan motivasi dan kecekapan belajar. 

Mereka juga mungkin mengasingkan diri dari aktiviti sosial kerana ketidakmampuan menyertai program berbayar, sekali gus mengehadkan rangkaian sosial dan sokongan emosi.

Fauzi, Mohamad & Khoo (2022) pula mengatakanpelajar dengan tekanan kewangan tinggi menunjukkan kesejahteraan mental rendah dan prestasi akademik menurun, membuktikan hubungan erat antara pengurusan kewangan, kesihatan mental dan akademik.

Dalam menghadapi cabaran ini, penglibatan pelajar sendiri amat penting. Kerja sambilan yang bersesuaian membantu menambah pendapatan, menampung keperluan asas dan membina kemahiran pengurusan masa. Namun, jadual kerja perlu diurus dengan bijak supaya tidak menjejaskan akademik.

Pelajar juga perlu meningkatkan literasi kewangan melalui perancangan bajet, menyisihkan simpanan kecemasan dan mengawal perbelanjaan impulsif. Kajian Aziz et al. (2025) menunjukkan pelajar yang mengikuti program literasi kewangan lebih yakin dalam membuat keputusan kewangan harian.

Institusi pengajian tinggi dan kerajaan perlu menyediakan sokongan kewangan holistik seperti biasiswa, elaun sara hidup, subsidi makanan dan penginapan. 

Sokongan kaunseling kewangan dan psikologi juga penting untuk membantu pelajar menghadapi tekanan bukan sahaja dari segi material tetapi juga mental. 

Ceramah dan latihan pengurusan kewangan secara berkala membantu membentuk budaya kewangan sihat dan prinsip pengurusan wang yang kukuh, menyediakan pelajar menghadapi cabaran selepas menamatkan pengajian.

Kesimpulannya, cabaran kewangan pelajar adalah isu kompleks yang memerlukan tindakan menyeluruh. Penglibatan pelajar melalui kerja sambilan dan literasi kewangan, berserta sokongan berterusan daripada institusi dan kerajaan dapat mengurangkan tekanan serta membina kestabilan hidup. 

Kesejahteraan pelajar bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik tetapi juga kemampuan mengurus kewangan secara bijak sebagai asas kepada kehidupan seimbang dan masa depan yang lebih yakin. –UTUSAN

IFFAH MAISARAH IZZATI MOHD. IZAM & SURIAYATI BINTI BAHAROM

Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×