SETIAP kali musim tengkujuh, banjir berulang dengan hujan lebat, sungai melimpah, ribuan dipindahkan dan harta benda rosak.
Fenomena ini, ‘bagai sirih pulang ke gagang’ yang menuntut pendekatan menyeluruh. Bukan sekadar infrastruktur dan pengurusan air perlu diperbaiki tetapi masyarakat juga mesti difahamkan hak dan tanggungjawab sebagai mangsa bencana agar kesan banjir dapat dikurangkan secara berkesan.
Ramai yang masih tidak jelas mengenai hak yang boleh dituntut, saluran permohonan dan batas-batas bantuan kerajaan serta agensi berkaitan. Oleh itu, penting untuk meningkatkan literasi awam mengenai hak mangsa banjir agar tiada yang tercicir daripada bantuan sewajarnya.
Selain faktor semula jadi, kecuaian manusia masih menjadi penyumbang utama. Walaupun ada usaha mitigasi seperti benteng sungai, tebatan banjir dan sistem ramalan awal namun banjir kilat di bandar dan banjir termenung di luar bandar tetap berlaku setiap tahun.
Oleh itu, memahami hak sebagai mangsa bukan sahaja penting untuk mendapatkan bantuan selepas bencana tetapi juga untuk menuntut akauntabiliti apabila berlaku kegagalan pengurusan.
Mangsa banjir dilindungi di bawah beberapa peruntukan dan garis panduan kerajaan antaranya Hak kepada Perlindungan dan Penempatan Sementara. Ini bermakna mangsa yang dipindahkan berhak ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang selamat, bersih dan mencukupi dari segi kemudahan asas seperti makanan, air bersih, tandas, tilam, selimut, ubat-ubatan dan akses komunikasi.
Perkara ini diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi-agensi kebajikan.
Kerajaan akan mengumumkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada ketua isi rumah yang terjejas. Bantuan ini adalah hak mangsa, bukan ihsan semata-mata, selagi syarat ditetapkan dipenuhi dan PPS diaktifkan. Bantuan ini bertujuan meringankan beban awal mangsa untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan, pakaian, ubat-ubatan dan barangan penting yang hilang atau rosak.
Selain itu, proses tuntutan BWI semakin dipermudahkan melalui penyelarasan antara agensi seperti APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Daerah bagi memastikan bantuan sampai dengan lebih cepat serta tepat kepada yang layak. Mangsa juga digalakkan menyimpan dokumen penting seperti kad pengenalan, bukti alamat dan nombor akaun bank untuk mempercepatkan pengesahan tuntutan.
Dalam pada itu, setiap mangsa berhak untuk mendapatkan bantuan penyelamatan tanpa diskriminasi. Agensi keselamatan wajib mengutamakan golongan berisiko tinggi seperti warga emas, bayi, wanita hamil, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik.
Selain itu, operasi penyelamatan juga perlu mengambil kira keperluan khas mangsa seperti ubat-ubatan, peralatan sokongan pernafasan, lampin bayi, kerusi roda atau bantuan mobiliti.
Begitu juga dengan hak untuk menerima maklumat yang tepat, jelas dan terkini berkaitan ramalan cuaca, paras air, arahan perpindahan serta perkembangan bantuan yang disediakan.
Pihak berkuasa pula bertanggungjawab memastikan komunikasi disampaikan dengan segera dan mudah difahami, terutamanya ketika keadaan kritikal. Segala maklumat mengenai status banjir, lokasi berkumpul, laluan selamat dan langkah keselamatan perlu disalurkan secara konsisten kepada masyarakat bagi memastikan proses evakuasi berjalan lancar selain bagi mengelakkan kekeliruan atau panik.
Walaupun berada di PPS, setiap mangsa berhak dilayan dengan hormat dan bermaruah tanpa sebarang bentuk sindiran, diskriminasi atau layanan kasar. Pengurusan bencana tidak boleh dipengaruhi unsur politik, pilih kasih atau penyalahgunaan kuasa. Semua pegawai yang bertugas terikat dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, yang mewajibkan mereka memberikan layanan profesional, berintegriti dan tidak memudaratkan rakyat.
Selain itu, prinsip layanan bermaruah selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kesamarataan tanpa diskriminasi di sisi undang-undang. Pengurusan PPS dan pemberian bantuan juga tertakluk kepada garis panduan Nadma, yang menekankan keadilan, ketelusan serta keutamaan terhadap keselamatan mangsa.
PAMPASAN DAN BANTUAN
BWI biasanya sekitar RM1,000 setiap keluarga. Tuntutan dibuat melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana di peringkat daerah untuk memastikan bantuan cepat sampai kepada yang layak.
Kerajaan menyediakan bantuan bagi rumah rosak akibat banjir, termasuk pembinaan semula, pembaikan sebahagian dan tunai untuk pembersihan. Jenis dan nilai bantuan ditentukan berdasarkan penilaian rasmi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Pejabat Daerah. Mangsa bencana boleh memohon bantuan daripada JKM.
Bantuan yang disediakan merangkumi barangan asas serta peralatan keperluan rumah seperti tilam, dapur, selimut dan pakaian bagi membantu mangsa memulakan semula kehidupan dengan lebih selesa.
Kebanyakan polisi insurans rumah dan kenderaan tidak meliputi banjir secara automatik, dan perlindungan ini perlu ditambah. Dengan perlindungan banjir, mangsa boleh menuntut ganti rugi bagi kerosakan rumah, perabot, peralatan elektrik, kenderaan serta kerugian perniagaan. Bukti seperti gambar, video dan laporan polis penting untuk melancarkan proses tuntutan.
Setiap negeri mempunyai skim bantuan bencana tersendiri, termasuk tunai tambahan, baucar barangan elektrik dan bantuan untuk pesawah serta penternak. Maklumat biasanya diumumkan kerajaan negeri. Mangsa boleh tuntut pampasan melalui mahkamah jika banjir disebabkan kecuaian pihak berkuasa, kontraktor, pelepasan empangan tanpa notis atau pembangunan yang menjejaskan tadahan hujan. Proses ini memerlukan peguam dan bukti teknikal.
TINDAKAN MANGSA
Ambil gambar semua kerosakan sebagai bukti tuntutan. Selain itu, simpan resit kerja pembersihan dan pembaikan.
Selain itu, mendaftar di PPS (walaupun sekejap) untuk melayakkan penerimaan bantuan.
Dalam masa sama buat laporan polis jika barang berharga rosak atau hilang. Hubungi Talian Bantuan Nadma atau Pejabat Daerah untuk urusan permohonan bantuan.
Banjir bukan hanya kisah alam yang bergelora tetapi ujian sosial, ekonomi dan pentadbiran.
Mangsa tidak boleh dibiarkan terkapai tanpa sokongan. Kerajaan mesti memperkukuh pertahanan bencana dan rakyat perlu lebih bersedia menghadapi kemungkinan.
Dengan memahami hak dan pampasan yang layak diterima, bantuan dapat sampai lebih cepat dan adil. Ini akhirnya menerbitkan rasa yakin yang rakyat tidak pernah dibiarkan berjuang sendirian. –UTUSAN
PENULIS Ketua, Pejabat Perundangan & Pematuhan Tadbir Urus, Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC) @ IIUM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan, Pahang.











