KUALA LUMPUR: Lebih 2,000 kanak-kanak golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di depot Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di seluruh negara, sehingga 31 Ogos lalu.
Kesemua mereka terdiri daripada keseluruhan 20,143 PATI yang ditempatkan di 18 depot imigresen serta dua depot imigresen sementara di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 273 orang yang terdiri dari kanak-kanak dan penjaga wanita pula ditempatkan di enam penempatan khas Baitul Mahabbah yang lebih kondusif dan selamat.
Menurut beliau, penempatan tersebut bertujuan untuk memastikan keselamatan, kebajikan, dan kesejahteraan golongan rentan tersebut sentiasa terpelihara selaras dengan prinsip kemanusiaan dan piawaian antarabangsa seperti Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC).
“Berkaitan keadaan fasiliti di depot-depot tahanan, adalah dimaklumkan bahawa Malaysia tidak terikat secara perundangan dengan kebanyakan perjanjian antarabangsa yang mengawal selia migrasi dan status pelarian.
“Bagaimanapun, pengurusan PATI di Malaysia berpandukan prinsip hak asasi manusia sejagat dan piawaian minimum yang diiktiraf secara meluas,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang memintanya untuk menyatakan jumlah tahanan pelarian dan PATI dewasa dan kanak kanak di depot imigresen seluruh negara setakat Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, walaupun Peraturan Nelson Mandela bukanlah perjanjian yang mengikat Malaysia secara perundangan tetapi kerajaan menggunapakai prinsip-prinsip di dalam peraturan itu sebagai piawaian untuk pengurusan tahanan di depot-depot Imigresen.
“Antara prinsip utama dalam Peraturan Nelson Mandela adalah layanan bermaruah, larangan diskriminasi, penjagaan, penginapan, makanan dan air, hubungan dunia luar serta siasatan kematian dalam tahanan.
“Pada masa yang sama, KDN bersedia menerima permohonan lawatan ke depot Imigresen daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melihat kemudahan-kemudahan dan layanan yang diberikan tertakluk kepada kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya. – UTUSAN










