Tarikh lantik pemegang amanah urus wang ganti rugi Raymond Koh pada 8 Disember

Tarikh lantik pemegang amanah urus wang ganti rugi Raymond Koh pada 8 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 8 Disember ini sebagai tarikh keputusan berhubung pelantikan pemegang amanah bagi mendepositkan wang ganti rugi melebihi RM32 juta yang diperintahkan dibayar kepada keluarga paderi, Raymond Koh.

Hakim Su Tiang Joo menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan pihak defendan untuk mengemukakan afidavit balasan bagi membangkitkan beberapa isu undang-undang serta menyatakan pendirian berhubung implikasi kewangan terhadap kerajaan.

Ketika prosiding, peguam Datuk Jerald Gomez yang mewakili keluarga Raymond mengemukakan tiga pihak untuk dipertimbangkan sebagai pemegang amanah bagi menguruskan wang ganti rugi tersebut.

Menurut afidavit sokongan yang difailkan isteri Raymond, Susanna Liew, 69, berserta persetujuan tiga anaknya, Jonathan, 41; Esther, 40, dan Elizabeth, 29, memohon agar mahkamah melantik Tetuan Jerald Gomez & Associates sebagai pihak yang memegang akaun amanah berkenaan.

Menurut Jerald, firma itu telah mewakili keluarga mendiang dari 2017 iaitu sejak pendengaran inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sehingga kini secara pro bono.

Selain itu, dua institusi kewangan lain turut dicadangkan sebagai alternatif iaitu PB Trustee Services Berhad dan Amanah Raya Berhad.

“Bagaimanapun, terdapat faktor kos sekiranya mahkamah melantik mana-mana institusi kewangan sebagai pemegang amanah. Jika PB Trustee Services Berhad dilantik, ia melibatkan kos seperti caj pentadbiran berjumlah RM10,000 serta caj tahunan sebanyak 0.35 peratus daripada jumlah yang didepositkan.

“Sekiranya kedua-dua pilihan itu tidak dipersetujui, alternatif ialah Amanah Raya Berhad. Namun sebagai sebuah institusi kerajaan, prosesnya lebih rumit. Walau begitu, kami bersedia menerimanya sekiranya mahkamah cenderung untuk membuat perintah tersebut,” kata Jerald.

Dalam prosiding hari ini, defendan-defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Farhana Khalid.

Pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Kerajaan Malaysia membayar lebih RM31 juta kepada keluarga Raymond bermula dari tarikh kehilangannya selepas mendapati enam defendan termasuk Kerajaan Malaysia telah bertindak dengan niat jahat sehingga menyebabkan kehilangan lelaki itu.

Sama seperti yang diputuskan dalam kes kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat, Hakim Tiang Joo turut memerintahkan agar siasatan kehilangan Raymond dibuka semula selepas mendapati berlaku kecuaian, pelanggaran serta penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa dalam siasatan yang dijalankan sebelum ini.

Selain memulakan semula siasatan, Hakim Tiang Joo juga memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan semula siasatan berdasarkan dapatan Pasukan Petugas Khas (STF) serta melaporkan perkembangannya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap dua bulan.

Mahkamah memerintahkan supaya kesemua defendan membayar ganti rugi sebanyak RM10,000 sehari bermula dari tarikh kehilangan lelaki itu sehingga keberadaan lelaki itu didedahkan.

Wang tersebut perlu dimasukkan ke dalam satu akaun amanah.

Raymond hilang sejak 13 Februari 2017 menjadikan tempoh kehilangannya adalah sebanyak 3,215 hari.

Kini, jumlah ganti rugi terkumpul yang diperoleh keluarga Raymond melebihi RM34 juta termasuk RM32 juta bagi ganti rugi RM10,000 sehari serta RM1 juta masing-masing untuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×