KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencampuri sebarang urusan penyiasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk kes melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanannya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekas pegawainya itu juga tidak menerima sebarang ‘layanan istimewa’ SPRM dan kerajaan di bawah pentadbirannya.
Beliau berkata, SPRM turut diberi ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasat dan bertindak tanpa halangan atau tekanan politik.
“Pegawai itu sudah digari, memakai baju oren. Banyak kes lebih berat pun tidak digari. Tetapi saya tidak menegur SPRM walau sepatah kerana SPRM bebas. Kalau mahu siasat, siasatlah,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.-UTUSAN










