KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mendedahkan terdapat surat daripada Kelantan dan Terengganu yang secara jelas mencadangkan syarikat diberikan peranan dalam projek tertentu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, surat yang diterima dari Terengganu itu melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Luar Bandar Terengganu dan Exco Kelantan.
“Ada satu surat saya terima yang tertera ‘mohon Datuk Seri pertimbang kelulusan ke atas perolehan secara rundingan terus’. Ini tidak boleh.Selain itu ada juga satu surat yang tertera ‘pihak kami cadangkan syarikat tersebut sebagai syarikat yang menguruskan projek berkenaan’.
“Surat ini satu dari Kelantan dan satu dari Terengganu,” katanya dalam pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN- Masjid Tanah) yang meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada Kerajaan akan melaksanakan audit dalaman terhadap pegawai-pegawai Menteri susulan teguran agar pemantau dilakukan terhadap pegawai mereka.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pemantauan terhadap amalan surat sokongan perlu diteruskan secara ketat selaras dengan pekeliling tatakelakuan, peraturan tatatertib, audit dalaman serta peranan Ketua Audit Negara.
Malah beliau berkata, kerajaan tidak pernah berkompromi dalam isu integriti pentadbiran dan menolak sepenuhnya amalan surat sokongan.
“Saya sendiri tidak bersetuju dengan surat sokongan. Dalam kes pegawai di pejabat saya yang mengemukakan enam syarikat untuk dipertimbangkan, tindakan yang sesuai ialah teguran, kerana surat itu hanya meminta pertimbangan, bukan mencadangkan kelulusan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dalam masa yang sama turut menyentuh isu melibatkan pegawai di kementerian tersebut sebelum ini yang dikaitkan dengan surat sokongan
Bagaimanapun katanya, beliau menafikan dan mendakwa surat berkenaan hanya dipanjangkan kepada pihak berkaitan.
“Yang tidak boleh ialah menyokong atau meminta syarikat tertentu diberikan kelulusan. Itu berbeza dengan satu surat yang pernah dibangkitkan, kononnya saya memohon pertimbangan kelulusan rundingan terus. Itu jelas tidak boleh,” tegasnya.-UTUSAN










