'Saya diberi peluang untuk terus berkhidmat dalam kerajaan'

‘Saya diberi peluang untuk terus berkhidmat dalam kerajaan’

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) turut hadir melihat Perodua QV-E selepas Majlis Peluncuran Kenderaan Elektrik (EV) Pertama Perodua disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Perdana MITI, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi bayangan beliau akan terus berkhidmat dalam kerajaan selepas ini.

Ini susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kemungkinan peranan baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Nampaknya saya diberi peluang untuk terus berkhidmat.

“Dalam kapasiti apa, saya juga masih menunggu,” katanya sambil menegaskan segala keputusan diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran EV pertama Perodua di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Anwar dalam ucapannya berkata, beliau akan memaklumkan jawatan baharu Tengku Zafrul esok.

Jawatan Tengku Zafrul berakhir hari ini selepas tempoh pelantikannya sebagai Senator tidak boleh disambung selepas dua penggal memegang jawatan itu..

Tengku Zafrul dilantik sebagai Senator pada 10 Disember 2022 dan menerajui MITI sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain daripada Kabinet bawah pimpinan Anwar, Tengku Zafrul juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbiran dua bekas Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×