Krisis China-Jepun, penyanyi ‘One Piece’ terpaksa henti persembahan di Shanghai

Krisis China-Jepun, penyanyi ‘One Piece’ terpaksa henti persembahan di Shanghai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI: Penyanyi Jepun, Maki Otsuki yang terkenal dengan lagu tema anime popular One Piece, terpaksa menghentikan persembahannya di Shanghai.

Insiden itu menjadi antara acara terbaharu yang terjejas akibat ketegangan diplomatik antara Tokyo dan Beijing.

Otsuki dijadualkan membuat persembahan selama dua hari bermula Jumaat di Festival Bandai Namco 2025 di bandar tersebut.

Namun, menurut kenyataan di laman rasminya pada Sabtu, penyanyi itu terpaksa menghentikan persembahan secara tiba-tiba kerana keadaan yang tidak dapat dielakkan walaupun berada di tengah persembahan.

Ia menjadi satu lagi insiden dalam rangkaian pembatalan acara budaya yang membabitkan dua ekonomi terbesar Asia itu.

Ketegangan antara Beijing dan Tokyo meningkat bulan ini susulan kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, yang mencadangkan kemungkinan Jepun campur tangan secara ketenteraan jika berlaku serangan terhadap Taiwan.

China, yang menganggap Taiwan sebagai wilayahnya dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk mengambil alih pulau demokrasi tersebut, bertindak balas dengan keras terhadap kenyataan itu.

Beijing turut memanggil duta Jepun dan menasihatkan rakyatnya supaya menangguhkan perjalanan ke Jepun.

Festival Bandai Namco 2025 dijadualkan berlangsung hingga Ahad, namun penganjur mengumumkan di platform media sosial WeChat bahawa keseluruhan acara dibatalkan selepas menimbangkan pelbagai faktor, lapor Kyodo News.

Kumpulan idola Jepun, Momoiro Clover Z, yang dijadualkan membuat persembahan pada Sabtu, turut terjejas.

Artis lain yang terpaksa membatalkan persembahan di China termasuk penyanyi pop Ayumi Hamasaki dan pemain piano jazz Hiromi Uehara, menurut laporan itu.

“Saya masih percaya hiburan seharusnya menjadi jambatan yang menghubungkan kita, dan saya mahu menjadi pencipta jambatan itu,” tulis Hamasaki di Instagram selepas pembatalan jelajah Shanghai beliau diumumkan pada Jumaat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×