SINGAPURA: Bermula Januari 2026, semua pelajar sekolah menengah di Singapura dilarang menggunakan telefon pintar dan jam tangan pintar sepanjang waktu persekolahan, termasuk ketika waktu rehat serta aktiviti kokurikulum.
Langkah baharu itu diumumkan Kementerian Pendidikan (MOE) sebagai usaha memupuk tabiat penggunaan skrin yang lebih sihat dalam kalangan remaja.
Menurut MOE, garis panduan sebelum ini hanya menghadkan penggunaan peranti digital semasa sesi pembelajaran.
Namun, peningkatan kebergantungan pelajar terhadap telefon pintar mendorong kementerian memperluaskan larangan tersebut merangkumi waktu bukan akademik seperti rehat, kelas tambahan dan sesi pemulihan.
Di bawah peraturan baharu ini, pelajar diwajibkan menyimpan peranti masing-masing di lokasi khas yang disediakan pihak sekolah atau disimpan dalam beg sepanjang hari persekolahan.
Walau bagaimanapun, MOE memaklumkan penggunaan telefon pintar boleh dipertimbangkan atas pengecualian tertentu mengikut budi bicara pentadbir sekolah.
Singapura sebelum ini sudah melaksanakan garis panduan serupa di sekolah rendah di bawah strategi kesihatan nasional Grow Well SG.
Beberapa sekolah menengah yang lebih awal melaksanakan peraturan ketat turut melaporkan peningkatan fokus, interaksi fizikal dan kesejahteraan pelajar apabila gangguan skrin dikurangkan.
Sebagai tambahan, MOE turut menetapkan waktu ‘sleep mode’ pada aplikasi pengurusan peranti diawalkan kepada 10.30 malam berbanding 11 malam bagi menggalakkan pelajar tidur lebih awal.
Ibu bapa digalakkan menyesuaikan tetapan peranti anak masing-masing agar selari dengan peraturan baharu ini.
Bagi pelajar prauniversiti, MOE menjelaskan mereka dijangka mempunyai tahap disiplin lebih tinggi untuk mengurus penggunaan peranti, namun larangan ketika waktu pembelajaran kekal berkuat kuasa kecuali dengan kebenaran guru.
Maklumat terperinci mengenai garis panduan baharu akan disampaikan melalui taklimat awal tahun, buku panduan pelajar, laman web sekolah serta sesi libat urus bersama ibu bapa.










