SETIAP kali hujan turun tanpa henti dan sungai perlahan-lahan meninggi, fokus kita biasanya tertumpu kepada rumah yang terjejas dan pusat pemindahan sementara.
Namun terdapat sebuah cerita lain yang jarang diselak kisahnya tentang ekonomi kecil yang perlahan-lahan terhenti sebelum air sempat mencecah pinggir rumah. Ekonomi kecil inilah yang menjadi nadi kehidupan ramai keluarga tetapi apabila langit mendung terlalu lama, denyut nadi itu mula perlahan.
Peniaga pasar malam menutup awal, pembekal menyimpan stok yang tidak habis dan pekerja harian menunggu cuaca kembali bersahabat sambil mengira baki dalam dompet. Di sinilah banjir bukan sekadar air melimpah, tetapi tanda bahawa rezeki sebahagian masyarakat mula terganggu.
Sektor pertanian yang menjadi tulang belakang ramai masyarakat luar bandar turut menanggung kesan yang jauh lebih berat daripada yang kita sering bayangkan.
Bagi penoreh getah, hujan berpanjangan bukan sekadar cuaca buruk; ia adalah penghalang rezeki yang datang tepat di hadapan mata. Getah tidak boleh ditoreh ketika hujan.
Pesawah pula berdepan cabaran yang berbeza tetapi sama pedih. Air berlebihan boleh menenggelamkan anak benih, merosakkan petak sawah atau mengakibatkan kerosakan sistem saliran yang telah lama uzur.
Bagi pesawah kecil, satu musim rosak bermaksud pendapatan setengah tahun hilang begitu sahaja. Tidak semua mampu menanggung kos menanam baharu, apatah lagi jika mereka masih menanggung hutang input pertanian. Begitu juga petani sayur yang bergantung kepada cuaca stabil untuk memastikan hasil tidak layu, busuk atau rosak.
Hujan tanpa henti menjadikan ladang berlumpur, tanaman reput dan bekalan ke pasar gagal dihantar tepat pada waktunya.
Penternak kecil sama ada ayam kampung, itik, kambing atau lembu turut tidak terkecuali. Kandang yang dinaiki air menyebabkan haiwan mudah sakit, hilang selera makan atau dalam kes lebih teruk, mati akibat kesejukan dan tekanan.
Kerugian seekor, dua ekor mungkin nampak kecil bagi orang luar, tetapi bagi penternak tanpa simpanan, itu adalah kehilangan yang sukar diganti.
Peniaga di pasar tani yang tidak dapat membuka gerai, pembekal baja yang kehilangan pelanggan, nelayan sungai yang tidak dapat turun mencari rezeki, semuanya berada dalam satu rantaian rezeki yang terputus.
Situasi ini menunjukkan bahawa ekonomi kecil baik di bandar mahupun desa sangat rapuh ketika berdepan ujian alam. Ekonomi kecil bergantung sepenuhnya pada cuaca, pelanggan dan keadaan sekeliling.
Ia tidak memiliki benteng perlindungan yang kukuh. Ia tidak mempunyai insurans pendapatan, simpanan besar atau modal pusingan yang mampu menahan kejutan berulang. Ia hidup hari demi hari, bergantung kepada rezeki harian yang datang.
Sebab itulah apabila kita berbicara tentang banjir, kita tidak boleh hanya melihat rumah yang ditenggelami air. Ini bukan sekadar cerita tentang banjir atau cuaca buruk.
Ia adalah cermin kepada realiti sosial yang memerlukan perhatian lebih serius. Selagi pekerja tidak formal dibiarkan tanpa rangkaian keselamatan yang kukuh, selagi itu mereka akan terus berada dalam risiko yang sama setiap tahun di ambang kesempitan setiap kali langit mula berubah wajah. Kita mungkin tidak dapat mengawal hujan, tetapi kita boleh memperbaiki sistem yang menjaga mereka ketika hujan turun.
Sudah sampai masanya kita berhenti melihat banjir sebagai sekadar air yang melimpah dari sungai dan longkang atau sebagai rutin tahunan yang kita terima dengan pasrah. Banjir sebenarnya adalah cermin besar yang menunjukkan kepada kita betapa banyak sisi masyarakat yang masih rapuh dengan perumahan yang tidak terancang, kawasan kediaman yang tidak selamat, jurang pendapatan yang melebar, pekerja tidak formal yang tidak dilindungi dan rangkaian sokongan sosial yang tidak cukup kuat.
Bila air naik, semua masalah ini timbul ke permukaan, seolah-olah memberi isyarat bahawa isu banjir bukan sekadar fenomena alam tetapi persoalan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat.
Namun, isu yang sebegini besar tidak boleh diletakkan di bahu satu pihak sahaja. Kerajaan, melalui dasar dan perancangan bandar, mempunyai peranan utama dalam memastikan kawasan kediaman tidak dibina di lokasi berisiko tinggi.
Perancangan bandar yang lebih teliti, sistem saliran yang dipantau secara berkala, pembangunan yang tidak meminggirkan komuniti B40, dan program mitigasi banjir yang disusun secara jangka panjang adalah antara langkah asas yang perlu diperhalusi.
Tidak cukup hanya membina benteng baharu kerana akar masalahnya sering kali lebih dalam daripada itu, ia menyentuh persoalan akses kepada perumahan selamat dan kemampuan rakyat menikmati ruang hidup yang terancang.
Pihak berkuasa tempatan pula memegang peranan yang lebih dekat dengan masyarakat. Penguatkuasaan pembangunan, penyelenggaraan longkang dan sistem perparitan, penjagaan sungai kecil dan pemantauan kawasan hitam banjir adalah tugas yang menentukan sama ada banjir berlaku atau tidak. Banyak kawasan yang sebenarnya boleh dielakkan banjir jika sistem penyelenggaraan dilaksanakan dengan lebih konsisten, bukan bermusim.
Di sinilah kecekapan pihak berkuasa tempatan menjadi garis pemisah antara sekadar “air bertakung” dan “air melimpah”.
Dalam masa yang sama, agensi keselamatan perlu terus memperkukuh keupayaan tindak balas kecemasan, bukan hanya dari aspek fizikal, tetapi juga komunikasi dan koordinasi.
Kecekapan menyelamat serta kecekapan memindahkan mangsa banjir bukan sahaja menyelamatkan nyawa, tetapi turut memberi ketenangan kepada masyarakat yang sedang cemas.
Negara yang baik bukan sahaja negara yang memulihkan kerosakan dengan cepat, tetapi juga yang menenangkan rakyatnya ketika mereka sedang diuji.
Akhirnya, penggubal dasar dan pihak akademik juga mempunyai peranan besar dalam memastikan kita bergerak ke hadapan dengan pendekatan yang lebih matang.
Kajian, data dan analisis perlu dijadikan asas dalam merangka penyelesaian. Banjir bukan isu yang boleh diselesaikan dengan projek fizikal semata-mata, ia memerlukan pemahaman mendalam tentang ekonomi rakyat, struktur pekerjaan, perumahan dan pola kerentanan masyarakat. Pendekatan holistik yang menggabungkan aspek sosial, ekonomi, persekitaran dan komuniti adalah jalan ke hadapan.
Maka, melihat banjir hanya sebagai fenomena alam sama seperti melihat bayang tanpa memahami tubuhnya. Ia lebih besar, lebih kompleks dan lebih manusiawi daripada apa yang tampak.
Jika setiap pihak memainkan peranan masing-masing dengan tekun dan ikhlas, kita bukan sahaja mampu mengurangkan kesan banjir tetapi juga membina masyarakat yang lebih sejahtera, lebih sedia dan lebih kuat menghadapi apa jua ujian alam. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Siti Hadijah Che Mat dan Dr. Norzita Jamil ialah pensyarah di Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM).










