DI Namibia, sekumpulan singa gurun terpaksa meninggalkan kawasan pemburuan tradisional mereka di pedalaman untuk menuju ke pesisir.
Lautan Atlantik, sekali gus menjadi satu-satunya singa maritim di dunia yang hidup dan memburu di kawasan pantai.
Seorang jurugambar Belgium, Griet Van Malderen berjaya merakam detik-detik perubahan tingkah laku yang luar biasa ini.
Dalam sebuah foto yang sangat mengagumkan, seekor singa betina berdiri di atas pantai berbatu di Namibia, merenung ke arah laut bergelora. Di hadapannya, terselit bangkai seekor anjing laut Cape fur hasil buruannya.
Foto dramatik itu mengabadikan detik mengejutkan Gamma, antara singa gurun betina Namibia yang sudah ‘cekap’ memburu anjing laut demi kelangsungan hidup di persekitaran mencabar Pantai Skeleton.
Foto tersebut menerima pujian dalam pertandingan berprestij Anugerah Jurufoto Hidupan Liar Terbaik anjuran Muzium Sejarah Alam di London tahun ini.
“Dia menjaga bangkai anjing laut itu sepanjang hari. Memang luar biasa melihat bagaimana tingkah laku mereka mula berubah,” kata Malderen, yang menghabiskan beberapa hari menunggu untuk mendapatkan gambar itu sambil memerhati Gamma dari dalam keretanya.
Kini, hanya terdapat 12 ekor singa gurun yang tinggal di sepanjang Pantai Skeleton daripada jumlah keseluruhan sekitar 80 ekor.
Mereka berpindah dari Gurun Namib yang kering ke pesisir Atlantik untuk mencari sumber makanan.
Sejak 2017, haiwan itu mengubah diet dan cara hidup secara drastik bagi menyesuaikan diri dengan habitat baharu itu dan dilihat semakin mampu bertahan.
“Foto ini menunjukkan betapa tabahnya haiwan ini. Mereka sanggup menukar habitat untuk terus hidup. Singa-singa ini sangat cekal. Hidup ini tentang kelangsungan hidup dan semuanya adalah satu perjuangan,” kata Malderen lagi.
Malderen berkata, beliau melihat Gamma membesar sejak kecil dan kali pertama melihat singa betina itu ketika ia baru berusia tiga bulan.
Kini usianya tiga setengah tahun, hampir dewasa dan sudah menjadi pemburu yang digeruni, malah mampu membunuh sehingga 40 ekor anjing laut dalam satu malam.
“Kita biasa melihat singa di Savana atau berbaring di atas batu besar. Jadi, melihat singa berdiri di pantai memang sangat pelik dan luar biasa,” kata Penyelidik Kanan Jabatan Sains Hayat, Muzium Sejarah Alam London, Natalie Cooper.
Gamma merupakan sebahagian daripada generasi pertama singa yang membesar di Pantai Skeleton, menurut pakar pemuliharaan yang menjejaki singa gurun Namibia sejak 1980, Philip Stander.
Katanya, foto itu sangat penting kerana ia merakamkan hari pertama Gamma bersendirian di pantai.
Pada tahun 1980-an, singa gurun Namibia pernah hidup di sepanjang Pantai Skeleton. Namun, kemarau dan konflik dengan penternak menyebabkan populasi mereka hampir pupus, memaksa haiwan itu berundur ke pedalaman gurun.
Lebih 30 tahun kemudian, singa-singa ini menemui jalan kembali ke pesisir pantai.
“Mereka hidup di kawasan yang paling tidak mesra kehidupan, lautan bukit pasir yang luas dan hampir tiada tumbuhan,” kata Stander yang juga pengasas Desert Lion Conservation Trust pada 1997.
Menurutnya, singa gurun ini sangat unik kerana mempunyai ‘kawasan jajahan’ paling luas dengan sekitar 12,000 kilometer persegi berbanding mana-mana singa lain di Serengeti yang biasanya hanya sekitar 100 kilometer persegi.
Mereka juga mampu hidup hampir tanpa sumber air kerana memperoleh cecair daripada daging yang dimakan.
Singa gurun juga bergerak dalam kumpulan yang lebih kecil berbanding singa savana. Disebabkan sumber makanan yang terhad, mereka perlu merentasi jarak yang sangat jauh untuk memburu.
“Inilah yang menjadikan kerja fotografi lebih mencabar. Singa-singa ini sentiasa bergerak. Mereka tidak berehat lama sebaliknya sentiasa memburu untuk terus hidup,” kata Malderen.
Pada 2015, selepas kemarau memusnahkan sumber makanan mereka seperti burung unta, oryx dan springbok, singa-singa ini mula memburu haiwan di pesisir pantai.
Dalam perkembangan menggembirakan, dua anak singa dilahirkan di kawasan pantai pada Mac 2025.
“Anjing laut adalah satu ‘rahmat’ bagi mereka. Perubahan iklim menolak singa-singa gurun ini ke tahap paling genting, memaksa mereka menyesuaikan diri dengan cara luar biasa untuk hidup di pantai Atlantik. Perjalanan evolusi ini sangat menarik untuk disaksikan,” ujar Malderen lagi. – UTUSAN









