Filipina minta bantuan Malaysia, Singapura kesan aset rasuah milik bekas MP - Utusan Malaysia

Filipina minta bantuan Malaysia, Singapura kesan aset rasuah milik bekas MP

FERDINAND MARCOS JR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., meminta bantuan Malaysia dan Singapura bagi mengesan aset milik bekas ahli Parlimen, Zaldy Co, yang disyaki terbabit dalam skandal rasuah projek kawalan banjir bernilai berbilion peso.

Antara aset yang dibekukan kerajaan ialah sebuah jet Gulfstream dan tiga helikopter yang dipercayai disorok di kedua-dua negara berkenaan.

Penyiasat rasuah Filipina berkata, jet eksekutif Gulfstream G350 milik Co, bernilai lebih AS$26 juta (RM107.4 juta), dikesan berada di Singapura sejak Ogos lalu, manakala dua helikopter AgustaWestland dilaporkan diterbangkan ke Kota Kinabalu, Malaysia pada Ogos dan September.

Marcos Jr. sebelum ini mengarahkan penangkapan Co dan individu lain yang dikaitkan dengan salah laku tersebut.

Beliau berkata, tiada individu boleh melarikan diri daripada undang-undang, meskipun berupaya menggunakan jet peribadi.

“Anda mungkin ada wang untuk berlari, tetapi anda tidak boleh melarikan diri daripada Republik Filipina,” katanya dalam satu video yang dikongsi di Facebook.

Dalam siasatan sama, seorang pegawai kerja raya yang dipecat telah memulangkan 110 juta peso (RM7.75 juta) dan berjanji menyerahkan lagi 200 juta peso (RM14.1 juta) kepada kerajaan.

Marcos Jr. berkata kerajaan komited mendapatkan kembali setiap aset dan dana yang dicuri bagi mengembalikannya kepada rakyat.

Skandal rasuah berskala besar itu menggoncang pentadbiran Marcos Jr., melibatkan menteri Kabinet, Senator, ahli Kongres dan ahli perniagaan kaya.

Kebangkitan rakyat semakin ketara apabila ratusan ribu warga Filipina berhimpun di Taman Rizal, Manila, menuntut pertanggungjawaban terhadap dana yang hilang.

Ketegangan meningkat apabila Co menuduh Marcos Jr. dan sepupunya, bekas Speaker Dewan Perwakilan Martin Romualdez, menerima sogokan berbilion peso daripada projek kawalan banjir.

Istana Presiden bagaimanapun menafikan dakwaan itu sebagai propaganda, manakala Marcos berikrar untuk memastikan semua yang bersalah ditahan sebelum sambutan Krismas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×