PEKAN: Seorang ibu kepada tiga anak dari Kampung Baru Cenderawasih, Batu 9, Sungai Miang di sini berdepan ujian apabila menghidap komplikasi penyakit barah otak, usus bocor dan tekanan darah tinggi.
Penderitaan dialami Rahmah Abdul Wahab, 48, itu turut menguji ketabahan seluruh keluarganya.
Wanita itu berkata, dia menjalani pembedahan ketumbuhan otak pada 2023 namun dimaklumkan tumor berkenaan tumbuh semula dan memerlukan pembedahan kedua yang berisiko tinggi.
“Doktor maklumkan ketumbuhan itu tidak habis dibuang. Sekarang ia tumbuh semula dan risiko pembedahan kali kedua sangat tinggi.
“Saya masih dalam rawatan bulanan dan ubat cucuk untuk kepala pula mencecah sekitar RM6,000 sekali. Jumlah itu dianggarkan hampir RM18,000 setahun namun kos rawatan tersebut ditanggung hospital.
“Kami tetap terbeban dengan kos ulang-alik, ubat tambahan dan keperluan lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Rahmah berkata, selain ketumbuhan otak, dia turut menjalani pembedahan usus bocor pada 2024 dan masih perlu berulang-alik ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan setiap bulan.
Ubat tambahan pun kami tidak mampu beli kerana keadaan kewangan sangat terhad,” katanya.
Menurutnya, keadaan kesihatannya yang kerap keluar masuk hospital menyebabkannya tidak lagi mampu membantu suami mencari rezeki,.
Keluarga itu kini hanya bergantung kepada pendapatan suaminya, Abdul Razak Lazim, 49, yang bekerja kampung dengan hasil tidak menentu.
Pasangan itu menjaga tiga anak serta seorang cucu berusia antara lapan tahun hingga 23 tahun yang masih bersekolah.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menghubungi 01125593886 atau menyumbang ke akaun Bank Rakyat, 221001295613 atas nama Rahmah dan Madiah Abdul Razak.-UTUSAN.










