PANAMA CITY: China dilaporkan antara pihak yang berminat untuk membida pembinaan dua pelabuhan baharu di Terusan Panama meskipun terdapat kenyataan dari Amerika Syarikat (AS) mengenai usaha untuk mengambil semula kawalan ke atas laluan perdagangan penting itu.
Presiden AS, Donald Trump membuat ancaman tersebut awal tahun ini, mendakwa China menguasai laluan strategik itu kerana syarikat berpangkalan di Hong Kong, CK Hutchison Holdings mengendalikan pelabuhan sedia ada di kedua-dua hujung terusan itu di Cristobal di bahagian Atlantik dan Balboa di bahagian Pasifik.
Syarikat itu bersetuju pada Mac untuk memindahkan kawalan kedua-dua pelabuhan tersebut kepada sebuah konsortium yang diketuai oleh BlackRock yang berpangkalan di AS, tetapi perjanjian itu masih belum dimuktamadkan.
Negara Amerika Tengah itu berharap dapat menarik pelaburan sebanyak AS$8.5 bilion (RM35.1 bilion) dalam tempoh sedekad akan datang bagi mengembangkan kapasiti pelabuhan, serta membina saluran paip gas dan takungan air baharu.
“Kita perlu terbuka kepada penyertaan semua pihak yang berminat dan mengundang persaingan seluas mungkin. Semua pihak akan membida atas kedudukan yang sama rata,” kata Pentadbir Terusan, Ricaurte Vasquez.
Beliau enggan mengulas tentang kemungkinan peningkatan ketegangan dengan AS sekiranya projek tersebut diberikan kepada syarikat-syarikat China pada masa hadapan.
Pihak Berkuasa Terusan Panama yang mula mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berminat sebelum proses pembidaan, merancang untuk menganugerahkan kontrak bagi dua terminal itu pada akhir tahun 2026 dan memulakan operasinya pada tahun 2029.
Cosco Shipping Ports dari Hong Kong dan Orient Overseas Container Line (OOCL) merupakan antara pemain antarabangsa yang menyatakan minat bersama PSA International dari Singapura, Evergreen (Taiwan), Hapag-Lloyd (Jerman), Maersk (Denmark) dan CMA Terminals (Perancis).
Lima pelabuhan utama Panama semuanya terletak berhampiran terusan dan dikendalikan oleh pemegang konsesi dari AS, Hong Kong, Taiwan dan Singapura.
Terusan sepanjang 80 kilometer yang digunakan terutamanya oleh AS dan China itu mengendalikan lima peratus daripada perdagangan maritim dunia.
AS membina dan mengendalikan Terusan Panama selama satu abad sebelum menyerahkan kawalannya kepada Panama pada hari terakhir tahun 1999.-AFP









