KKM tegaskan keperluan saringan, cegah NCD

KKM tegaskan keperluan saringan, cegah NCD

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Cabaran penyakit tidak berjangkit (NCD) kini menjadi fokus utama Kementerian Kesihatan memandangkan ancamannya dikatakan jauh mengatasi penyakit berjangkit dan memerlukan tindakan kesihatan awam yang konsisten.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, statistik menunjukkan satu daripada dua individu yang menghidap NCD tidak mengetahui status kesihatan mereka, menjadikan saringan awal sebagai langkah paling kritikal.

“Saya tekankan bahawa program saringan kita tidak bermusim dan tidak berhenti. Sepanjang tahun kita turun padang kerana cabaran NCD lebih besar daripada penyakit berjangkit,” katanya pada Majlis Perasmian Kem Kesihatan Kukusan di Taman King Fook di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam lawatannya ke Tawau, beberapa penduduk daerah itu memaklumkan hanya mengetahui mereka menghidap hipertensi selepas menjalani saringan.

“Ia contoh jelas mengapa program sedemikian mesti dipergiatkan sepanjang tahun bagi meningkatkan kesedaran orang ramai supaya menjalani saringan kesihatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly menegaskan, lawatan ke Sabah merupakan sebahagian daripada komitmen jelajah kesihatan yang dijalankan kementeriannya di seluruh negara.

“Lawatan saya tiada kena mengena dengan pilihan raya. Saya mulakan di pantai barat, kini pantai timur. Fokus saya adalah memastikan rakyat menjalani saringan kencing manis, darah tinggi, kolesterol, obesiti serta pelbagai kanser termasuk kolorektal, payudara dan prostat,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perancangannya untuk menjadikan Hospital Tawau sebagai Hospital Kategori 1, Dr. Dzulkefly berkata, usaha itu selaras dengan pelancaran blok baharu hospital tersebut yang sebelum ini turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pelan menaik taraf Hospital Tawau merangkumi: 585 katil baharu, cadangan tambahan 150 katil, penubuhan Invasive Cardiac Laboratory (ICL) atau CAT Lab dan pengukuhan kepakaran dan subkepakaran di hospital.

“Dengan adanya CAT Lab ini, pesakit jantung dari seluruh pantai timur Sabah tidak perlu lagi dirujuk ke Kota Kinabalu, Kuching atau Semenanjung. Tawau akan menjadi pusat rujukan serantau,” katanya.

Beliau berkata peningkatan kapasiti, kemampuan kepakaran serta pembangunan sumber manusia adalah syarat utama sebelum hospital itu boleh diangkat ke Kategori 1, suatu pengiktirafan yang hanya dimiliki oleh sebilangan hospital di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×