Lebih setengah juta rakyat hidap empat penyakit tidak berjangkit serentak

Lebih setengah juta rakyat hidap empat penyakit tidak berjangkit serentak

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih setengah juta rakyat dewasa di Malaysia dilaporkan menghidap sekurang-kurangnya empat penyakit tidak berjangkit (NCD) utama secara serentak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, keadaan itu mencerminkan krisis kesihatan awam yang semakin membimbangkan apabila NCD seperti diabetes, hipertensi, obesiti dan penyakit jantung kini menjadi ancaman utama menggantikan penyakit berjangkit.

“Semua data berkenaan diperoleh daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024 yang menunjukkan trend semasa semakin meruncing.

“Antaranya lebih setengah juta rakyat dewasa menghidap sekurang-kurangnya empat NCD utama serentak.

“Selain itu, satu daripada enam orang dewasa menghidap diabetes, manakala satu daripada tiga mengalami tekanan darah tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Buku Resepi “Mai Kurang” dan Rewang bersama Komuniti, hari ini.

Dzulkefly berkata, NHMS 2024 turut mendapati hampir separuh atau 47 peratus orang dewasa mengambil gula melebihi paras disarankan iaitu lebih 7.5 sudu teh sehari.

Katanya, tiga daripada empat orang dewasa mengambil garam secara berlebihan dengan purata sekitar 7.3 gram sehari iaitu jauh melepasi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kurang daripada lima gram sehari.

“Situasi ini bukan sekadar isu kesihatan individu, sebaliknya menjadi ‘bom jangka’ kepada ekonomi negara.

“Laporan menunjukkan NCD mengakibatkan kerugian ekonomi sekitar RM64.2 bilion setahun, dengan kos langsung penjagaan kesihatan mencecah RM12.4 bilion,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) kini mengaplikasikan pendekatan behavioural insight berasaskan teori Herbert Simon yang menjelaskan manusia tidak sentiasa membuat keputusan secara rasional.

“Tiga cabaran utama dikenal pasti iaitu rasionaliti terhad akibat kekangan masa dan maklumat, kecenderungan memilih pilihan mudah walaupun kurang sihat serta pengaruh persekitaran terhadap pilihan makanan.

“Usaha mengubah tingkah laku tidak boleh bergantung kepada kempen kesedaran semata-mata, sebaliknya perlu mewujudkan persekitaran yang memudahkan pilihan sihat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×