Malaysia hanya pemudah cara tangani konflik Thailand-Kemboja

Malaysia hanya pemudah cara tangani konflik Thailand-Kemboja

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia tidak pernah campur tangan dalam ketegangan diplomatik yang berlaku antara Thailand dan Kemboja, sebaliknya hanya berperanan sebagai pemudah cara bagi membantu membuka ruang dialog antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penglibatan Malaysia dilakukan atas peranan sebagai negara jiran serta sebagai Pengerusi ASEAN 2025 tanpa mengemukakan sebarang cadangan atau menentukan kaedah penyelesaian bagi pihak Bangkok atau Phnom Penh.

Katanya, peranan Malaysia hanya terhad kepada memudah cara komunikasi antara pegawai utama kedua-dua negara termasuk menggalakkan perbincangan antara panglima angkatan tentera serta hubungan antara Menteri Luar masing-masing.

“Biar saya jelaskan. Sebagai jiran, kita sememangnya prihatin, tetapi kita tidak terlibat dan tidak memberikan apa-apa preskripsi tentang bagaimana penyelesaian harus dicapai.

“Saya hanya bercakap dengan kedua-dua Perdana Menteri untuk bertanya sama ada mereka boleh berbincang. Mereka sendiri menetapkan parameter dan menentukan isu-isu yang hendak dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg, Afrika Selatan, semalam.

Menurut Perdana Menteri, usaha yang dilakukan atas dasar kepercayaan kukuh kedua-dua negara terhadap Malaysia sebagai rakan yang boleh membantu membuka saluran komunikasi apabila diperlukan.

“Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump juga telah menghubungi kedua-dua pihak dalam proses rundingan damai tersebut.

“Kita hanya cuba berhubung dengan kedua-dua pihak kerana mereka menganggap kita sebagai sahabat,” katanya.

Anwar berkata, dakwaan mana-mana pihak di Thailand yang menggambarkan peranan Malaysia sebagai satu bentuk campur tangan adalah tidak berasas.

“Saya tidak tahu pertimbangan politik dalaman mereka, tetapi untuk mencadangkan kita campur tangan adalah tidak benar. Tidak mungkin kita masuk campur,” jelasnya.

Tambah beliau, Thailand dan Kemboja mempunyai legitimasi, keupayaan dan hak kedaulatan penuh untuk menyelesaikan isu mereka sendiri dan Malaysia menghormati perkara itu sepenuhnya.

Bagaimanapun, Anwar percaya perkara itu akan turut dibangkitkan semasa lawatan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul ke Malaysia.

“Lawatan itu adalah rundingan biasa antara dua negara, tetapi saya pasti beliau akan menyentuh perkara ini. Saya faham rakyat Thailand mahu melindungi sempadan mereka.

“Saya akan mendengar pandangan beliau dan memudah cara sekiranya perlu, namun keutamaan kita adalah memastikan keamanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×