TOKYO: Kejayaan Malaysia meraih emas pertama di Sukan Deaflympics 2025 melalui acara boling lelaki, Syabil Azam Syamsul Azam-Ho Choon Seong, kelmarin membuktikan disiplin dan arahan jurulatih mampu menutup kekurangan pengalaman.
Yang menakjubkan, pasangan ini hanya mula bergandingan sebulan sebelum temasya, namun segera menyesuaikan diri untuk mengharungi cabaran pertandingan bertaraf dunia.
Ketua jurulatih kebangsaan, Joey Tay berkata, beliau amat gembira kerana pasukan boling lelaki berjaya meraih pingat emas pertama Malaysia di temasya itu, malah berharap lebih banyak kejayaan bakal menyusul memandangkan potensi pasukan itu sebenarnya sangat kuat.
Menurutnya, pencapaian itu bukan sekadar tuah semata-mata, sebaliknya hasil usaha gigih pemain yang menuruti setiap nasihat dan strategi sepanjang latihan serta aksi di gelanggang.
“Sasaran pingat sebenarnya adalah cenderung kepada acara berpasukan. Itu sasaran saya. Ini memang usaha keras pemain. Mereka mendengar apa nasihat saya beri, macam mana mahu baling.
“Apabila kita beri nasihat kepada pemain, mereka tidak nampak tetapi saya yang berada di belakang mereka lihat mereka mendengar arahan saya,” kata Joey.
Selepas tujuh hari temasya bermula, pasangan negara meraih kemenangan 2-1 menewaskan Ukraine, Danyliuk Vadym-Lalovega Vladyslav, selepas merekodkan jatuhan pin 243, 181 dan 226 pada aksi final di Higashiyamato Grand Bowl kelmarin.
Pingat emas itu sekali gus memecahkan jangkaan awal Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF) yang mensasarkan tiga emas dari boling berpasukan lelaki manakala dua lagi dari sukan badminton yang gagal merealisasikan sasaran.
Dalam pada itu, Choon Seong mengakui walaupun pengalaman bergandingan masih baharu, kepercayaan pada arahan jurulatih dan disiplin latihan membolehkan mereka menakluk tekanan dan meraih pingat emas pertama negara, kelmarin.
“Saya sangat gembira dengan pingat emas ini. Kami baru saja bergandingan bulan lalu. Semua ini hasil daripada didikan dan latihan berkualiti oleh jurulatih Joey,” katanya.
Untuk rekod, ini merupakan kali kedua boling menyumbang pingat kepada Malaysia selepas Mohd Zaidi Awang menyumbang gangsa dalam perseorangan lelaki pada edisi 2009 di Taiwan. – UTUSAN










