PETALING JAYA: Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi laluan bagi laluan KL Sentral-Johor Bahru akan mula beroperasi 12 Disember ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dijadual menyempurnakan majlis perasmian pengoperasian perkhidmatan baharu itu sehari lebih awal iaitu 11 Disember di Johor Bahru.
Katanya, ETS3 akan menawarkan kekerapan setiap jam bagi membolehkan 10 perjalanan pergi balik antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
“Bagi penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke utara, mereka akan melakukan transit di Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang turut menawarkan kekerapan perjalanan sama.
“Pada masa ini, tiada perjalanan terus dari Johor Bahru ke Padang Besar kerana jaraknya terlalu jauh dan akan mengehadkan perkhidmatan kepada hanya dua perjalanan sehari.
“Dengan membahagikan perjalanan kepada dua peringkat, kekerapan pergi dan balik dapat ditambah dan memberi lebih fleksibiliti kepada pengguna,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Pesta Rel Kluang di Stesen Laman Rel Mahkota, hari ini.
Mengenai pembangunan Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) di Johor Bahru, Siew Fook berkata, projek rel mega berkenaan sedang diteliti kerana terdapat beberapa perkara teknikal yang masih belum memuaskan.
Bagaimanapun katanya, projek itu tidak ditangguhkan, sebaliknya sedang diperhalusi dengan keutamaan untuk mempercepatkan pelaksanaannya.
“Projek itu kini berada di peringkat penilaian permohonan cadangan (RFP) dan sedang diperhalusi Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) selepas beberapa syor yang diterima belum memenuhi keperluan.
“Sudah tentu pihak kementerian akan berbincang dengan pihak UKAS untuk mempercepatkan proses penganugerahan kepada projek itu dalam masa terdekat,” katanya.
Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memohon pertimbangan kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan pelaksanaan ART selewat-lewatnya awal tahun depan.
Projek berkenaan dilaksanakan bagi menyokong sistem pengangkutan awam, sekali gus menyurai aliran trafik sebelum Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura beroperasi sepenuhnya pada 2027. – UTUSAN










