Hubungan Malaysia, Ethiopia ke fasa lebih strategik

Hubungan Malaysia, Ethiopia ke fasa lebih strategik

ANWAR Ibrahim disambut oleh Presiden Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali selepas diberi sambutan penuh istiadat di Istana Negara Ethiopia, semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Ethiopia setakat untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pelancongan, pendidikan, kesihatan, pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan penyelidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga meneruskan sokongan terhadap agenda reformasi ekonomi Ethiopia melalui Malaysian Technical Cooperation Program (MTCP).

Beliau berkata, Malaysia juga bersedia membuka akses eksport produk seperti ayam, sarang burung dan makanan ternakan ke Ethiopia selain menawarkan kepakaran penanaman sawit dan benih berkualiti.

“Kami memperteguh tekad untuk membawa hubungan kedua-dua negara ke fasa lebih strategik merangkumi perluasan perdagangan, pelaburan, pembangunan modal insan serta pemerkasaan kerjasama ekonomi baharu,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam kenya­taan yang dikeluarkan di Addis Ababa.

Beliau berkata, Malaysia me­nyambut baik kemajuan termasuk persetujuan memulakan mekanisme rundingan berkala dan pelbagai inisiatif yang memperluas ruang kerjasama antara rakyat pembangunan bersama dan keterhubungan antara ke­dua-dua negara.

“Saya turut menekankan potensi besar dalam kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, industri halal, keselamatan siber, serta peluang baharu melalui rangka MoU antara dewan perniagaan kedua-dua negara.

“Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan lebih aktif syarikat Ethiopia dalam misi dagangan dan padanan perniagaan,” kata beliau.

Anwar turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Ethiopia terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS dan mengucapkan tahniah atas pemilihan negara berkenaan sebagai tuan rumah COP32 pada 2027, yang merupakan pengiktirafan besar terhadap kepimpinan mereka dalam agenda hijau global.

“Saya yakin kerjasama Malaysia dan Ethiopia akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat serta masa depan yang lebih makmur, inklusif dan berdaya saing,” kata Perdana Menteri yang menyifatkan pertemuan dua hala berkenaan sebagai ‘sarat dan penuh bermakna’,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga bersedia membuka akses eksport pelaburan hijau, teknologi digital, pertanian moden, tenaga boleh baharu, dan peluang ke rantau Asia Tenggara untuk Ethiopia.

Katanya, rantau ASEAN yang kini muncul blok ekonomi dinamik, membuka ruang lebih luas kepada industri berkaitan antara Malaysia dan negara Afrika.

Katanya, kerjasama ekonomi dengan negara-negara Afrika juga perlu diperkukuh melalui pendekatan yang menekankan kepercayaan, empati dan manfaat bersama, bukan sekadar angka pelaburan atau kontrak perniagaan.

“Sama seperti Raja Najashi menerima hijrah dengan jiwa yang besar, Malaysia hadir ke Afrika dengan keinginan untuk membina jambatan yang adil, inklusif dan mampan. Kita membuka ruang untuk pelaburan hijau, teknologi digital, pertanian moden, tenaga boleh baharu, dan akses ke rantau ASEAN yang dinamik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) berpotensi besar dihubungkan dengan pasaran ASEAN, satu langkah strategik dijangka membuka ruang pertumbuhan baharu serta meningkatkan keterhubungan serantau.

Katanya, penyambungan dua blok ekonomi besar itu bukan sahaja mampu merangsang perdagangan rentas sempadan, malah memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui peluang pasaran lebih luas, pelaburan baharu serta pengukuhan rantaian bekalan serantau.

Beliau menegaskan, Malaysia juga bersedia berkongsi kepakaran dalam bidang selari agenda pembangunan negara-negara Afrika. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×