Loji nuklear terbesar dunia dijangka beroperasi semula - Utusan Malaysia

Loji nuklear terbesar dunia dijangka beroperasi semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Jepun bersedia memulakan semula loji tenaga nuklear terbesar di dunia pada minggu ini, lapor media tempatan.

Jepun menghentikan tenaga nuklear selepas bencana Fukushima pada 2011, namun kini Tokyo berhasrat menghidupkan semula tenaga atom bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil yang diimport.

Loji nuklear Kashiwazaki-Kariwa dijangka mendapat kelulusan Gabenor tempatan pada minggu ini untuk menyambung semula operasi, menurut agensi berita Kyodo News dan akhbar perniagaan Nikkei, memetik sumber yang tidak dinamakan.

Daripada tujuh reaktor di Kashiwazaki-Kariwa, hanya satu sahaja yang akan kembali berfungsi.

Selepas bencana tsunami dan leburan reaktor di loji nuklear Fukushima Daiichi pada 2011, Jepun telah menutup semua reaktor nuklearnya berikutan kebimbangan awam terhadap sumber tenaga itu.

Sebanyak 14 reaktor, kebanyakannya di wilayah barat serta selatan, telah disambung semula operasinya selepas piawaian keselamatan yang ketat dikenakan dan jika diluluskan, ini akan menjadi langkah pertama buat pengendali loji Fukushima, Tepco, untuk memulakan semula loji nuklear selepas bencana tersebut.

Kerajaan Jepun terus menyokong tenaga nuklear sebagai sumber tenaga yang boleh dipercayai dan bersih yang diperlukan oleh negara itu dalam usaha mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.

Pada Julai lalu, syarikat tenaga Kansai Electric mengumumkan sedang mengambil langkah awal untuk membina reaktor nuklear baharu yang pertama di negara itu sejak bencana Fukushima.

Bagaimanapun, Jepun masih berdepan tugas yang sukar dalam usaha menyahaktifkan loji Fukushima, di mana ia dijangka mengambil masa beberapa dekad.

Tahap radiasi yang sangat tinggi menjadikan usaha mengeluarkan bahan api yang telah lebur dan serpihan lain daripada loji itu dilihat sebagai cabaran paling sukar dalam projek penyahaktifan yang mengambil masa berdekad-dekad itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×