GAZA CITY: Seorang ahli Jawatankuasa Islam-Kristian bagi Sokongan Baitulmuqaddis dan Tapak Suci menegaskan pelbagai inisiatif antarabangsa berkaitan Gaza ketika ini sebenarnya bertujuan melemahkan serta melucutkan senjata perjuangan Palestin, namun usaha tersebut tidak akan berjaya.
Beliau turut menuduh Amerika Syarikat (AS) sebagai “rakan langsung” dalam penderitaan rakyat Palestin susulan sokongan ketenteraan dan politiknya terhadap Israel.
Usaha Washington untuk membentuk masa depan Gaza disifatkannya sebagai “percubaan sia-sia untuk melucutkan senjata rakyat Palestin.
Musallam menjelaskan rakyat Palestin “tidak mempercayai AS, Eropah atau sesetengah rejim Arab” kerana kegagalan pihak-pihak berkenaan menjamin hak dan keselamatan mereka.
Katanya, Israel masih gagal mencapai keselamatan melalui kekuatan ketenteraan walaupun selepas dua tahun peperangan.
Beliau menegaskan, keselamatan hanya dapat dicapai dengan mengiktiraf hak rakyat Palestin, bukannya meneruskan kekerasan, penindasan dan pembunuhan.
Katanya, selagi Hamas berkuasa dan perjuangan rakyat Palestin berterusan, Israel akan terus berdepan pengasingan antarabangsa dan berisiko berdepan pendakwaan global.
Data terkini menunjukkan perang Israel ke atas Gaza meragut lebih 69,000 nyawa dan mencederakan lebih 170,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Lebih 90 peratus infrastruktur di wilayah itu turut musnah akibat kempen ketenteraan berterusan.
Walaupun gencatan senjata dimeterai bulan lalu, tentera Israel meneruskan pengeboman serta operasi merobohkan rumah penduduk.
Tindakan itu menyebabkan ratusan lagi korban dan semakin menyukarkan kemasukan makanan serta bekalan perubatan penting ke Gaza.










