PARLIMEN: LKIM larang sewakan jeti kepada pihak swasta

PARLIMEN: LKIM larang sewakan jeti kepada pihak swasta

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada pihak dibenarkan untuk memonopoli kemudahan jeti pendaratan ikan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) termasuk memberi sewa kepada pihak swasta.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata,   larangan itu bagi memastikan semua nelayan dapat menikmati kemudahan itu secara adil.

Katanya, LKIM berperanan menyediakan serta mengurus infrastruktur pendaratan ikan termasuk jeti, pelabuhan perikanan dan kompleks pendaratan bagi menyokong industri perikanan negara.

Katanya, sebanyak 48 buah kompleks atau labuhan perikanan telah dibina di seluruh negara termasuk empat buah kompleks di Johor bagi menyediakan kemudahan kepada nelayan untuk mendaratkan hasil tangkapan mereka. 

“Pengurusan dan pengoperasian kompleks serta labuhan ini adalah berdasarkan kepada Kaedah-Kaedah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (Kompleks Perikanan, Labuhan Perikanan dan Jeti Pendaratan Ikan) 2010 yang turut menetapkan kadar caj dikenakan.

“Penyewaan lot-lot premis dan penggunaan kemudahan di kompleks atau labuhan ini juga terbuka kepada pelabur dan pemain industri perikanan tempatan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) berhubung langkah kementerian memastikan jeti LKIM diurus tadbir secara telus dan inklusif supaya ia tidak dimonopoli pihak tertentu sekali gus dimanfaatkan secara adil oleh nelayan kecil serta perusahaan tempatan.

Selain itu, Mohamad berkata, terdapat sebanyak 505 buah jeti pendaratan ikan LKIM yang beroperasi secara tradisional di seluruh negara. 

Katanya, pengurusan jeti-jeti itu dikawal selia oleh Persatuan Nelayan (PN) atau Jawatankuasa di peringkat pangkalan masing-masing yang dianggotai oleh nelayan dari kawasan berkenaan.

“Di Tanjung Piai, sebanyak tiga buah jeti telah disediakan oleh LKIM yang memberi manfaat kepada 118 orang nelayan. 

“Jeti-jeti ini diurus tadbir secara telus dan inklusif oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) setempat untuk kegunaan mana-mana nelayan tanpa sebarang halangan,” katanya.

Tambahnya, mekanisme pemantauan sedia ada melibatkan kerjasama LKIM negeri, persatuan nelayan dan pihak berkuasa tempatan dapat mengesan serta menyelesaikan sebarang aduan berkaitan penguasaan atau amalan yang menekan perusahaan kecil dengan segera. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN