GEORGE TOWN: Bekalan diesel untuk kegunaan nelayan di negara ini kekal stabil tanpa sebarang gangguan sekali gus menepis kebimbangan mengenai kemungkinan terjejasnya rantaian bekalan hasil laut di pasaran.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, bekalan diesel kekal mencukupi selain subsidi yang diberikan kerajaan masih diteruskan tanpa sebarang perubahan.
Menurut beliau, kerajaan tidak pernah menghentikan atau mengurangkan subsidi tersebut kerana ia merupakan kesinambungan daripada dasar sedia ada bagi membantu golongan nelayan.
“Setakat ini tidak ada sebarang gangguan bekalan. Minyak mencukupi dan subsidi masih kekal seperti sebelum ini,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Amanah Pulau Pinang, di sini hari ini.
Muhammad Faiz berkata, ketika ini, memang terdapat rungutan dalam kalangan nelayan yang memohon agar kuota bekalan diesel ditambah, namun, perkara itu masih dalam penelitian kerajaan kerana melibatkan implikasi kewangan yang besar.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini menanggung perbelanjaan ratusan juta ringgit setiap tahun bagi memastikan nelayan dapat menikmati harga diesel yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.
“Nelayan tidak membeli diesel pada harga pasaran, sebaliknya pada kadar subsidi sekitar RM1.65 seliter, jauh lebih murah,” ujar beliau.
Katanya, secara keseluruhan, sebanyak kira-kira 70 juta liter diesel diperuntukkan setiap bulan untuk kegunaan lebih 40,000 vesel nelayan di seluruh negara merangkumi zon A, B dan C. – UTUSAN










