KUALA LUMPUR: Aplikasi MyGOV Malaysia menggunakan MyDigital ID adalah selamat dan mematuhi piawaian keselamatan bertaraf antarabangsa.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, aplikasi itu dibangunkan dengan penekanan utama terhadap keselamatan data rakyat termasuk ujian keselamatan, pematuhan standard perlindungan data, penilaian risiko dan audit sistem sebelum diaktifkan.
Katanya, penggunaan Application Programming Interface (API) memastikan data peribadi rakyat kekal di sistem agensi masing-masing tanpa disalin atau disimpan ke dalam aplikasi.
“Satu perkara yang diberikan keutamaan di kementerian saya adalah keselamatan.
“Setiap perkhidmatan yang diintegrasikan perlu menjalani ujian keselamatan pematuhan standard perlindungan data. Kita juga melaksanakan penilaian risiko sebelum diaktifkan untuk kegunaan rakyat,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai keselamatan data apabila pelbagai perkhidmatan kerajaan digabungkan ke dalam satu aplikasi.
Mengulas mengenai aplikasi sedia ada, Gobind berkata, perkara itu akan dipertimbangkan setelah semua perkhidmatan berjaya diselaraskan melalui MyGOV Malaysia.
“Kita kena lihat bagaimana kita boleh membawa kepada satu perkhidmatan supaya semua dapat gunakan. Ia memerlukan masa. Soal berkaitan dengan aplikasi yang dulu itu akan kita timbangkan selepas kita berjaya dapat integrasi semua aplikasi.
“Buat masa sekarang, ia akan diteruskan seperti sedia ada tetapi fokus diberikan untuk kita membawa semua (rakyat) untuk menggunakan aplikasi yang baharu ini.
“Ia bergantung, kalau perkhidmatan (MyGOV) itu lebih baik, lebih selamat dan sebagainya, mungkin itu menjadi tarikan untuk masyarakat,” katanya. – UTUSAN










