Bekas penolong jurutera didenda RM150,000 tipu jawatankuasa penilaian tender

Bekas penolong jurutera didenda RM150,000 tipu jawatankuasa penilaian tender

ZAMHURI Ahmad Shatiry didakwa memperdaya jawatankuasa penilaian tender membabitkan projek bernilai RM4.3 juta, sembilan tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang bekas penolong jurutera didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memperdaya jawatankuasa penilaian tender membabitkan projek bernilai RM4.3 juta, sembilan tahun lalu.

Tertuduh, Zamhuri Ahmad Shatiry, 51, juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan dan hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdaya jawatankuasa penilaian tender ‘installation and commissioning of overhead 33kV 3x150mm2 Ariel Bundle Cable (ABC)‘ dari Kampar ke PPU Gopeng Industri di mana lelaki itu telah menyembunyikan kepentingannya dalam Syarikat Gua Besar Sdn. Bhd.

Tertuduh yang berperanan sebagai setiausaha syarikat itu telah menyediakan ‘bill of quantities’ atau BQ bagi pihak syarikat sehingga dianugerahkan tender tersebut yang bernilai RM4,337,542.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat Sutera, Jabatan Pembangunan Aset, Bahagian Pembahagian TNB dalam daerah Kinta pada 1 Ogos 2016.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Afiq Mohd. Adnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×