Ben-Gvir ugut bunuh pemimpin PA jika PBB iktiraf negara Palestin - Utusan Malaysia

Ben-Gvir ugut bunuh pemimpin PA jika PBB iktiraf negara Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir mencetuskan kontroversi apabila menggesa pegawai tertinggi Pihak Berkuasa Palestin (PA) ‘dibunuh’ sekiranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi yang membuka jalan pengiktirafan negara Palestin.

Menurut laporan Jerusalem Post, Ben-Gvir melabel pemimpin PA sebagai ‘pengganas’ dan mendakwa tindakan keras perlu diambil jika usaha pengiktirafan negara Palestin dipercepatkan.

Beliau turut mengancam Presiden PA, Mahmoud Abbas patut ditahan dan ditempatkan dalam sel kurungan bersendirian di penjara Ketziot.

Kenyataan berbaur hasutan itu mendapat kecaman keras daripada Kementerian Luar Palestin yang menyifatkannya sebagai “penghasutan sistematik” pemimpin Israel, sambil menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan terhadap Ben-Gvir.

Pejabat Presiden Palestin pula menegaskan kerajaan Israel harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

Majlis Keselamatan PBB dijangka mengundi resolusi berkaitan pelan gencatan senjata Gaza yang dibentangkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Pelan itu turut menyokong penubuhan pasukan penstabilan antarabangsa serta satu “laluan kredibel” menuju penentuan nasib sendiri dan kenegaraan Palestin.

Israel bagaimanapun terus menolak sebarang rujukan mengenai penubuhan negara Palestin.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebelum ini memberi jaminan kepada gabungan sayap kanan pimpinannya bahawa pendiriannya tidak berubah, manakala Ben-Gvir pada minggu lalu mendakwa “tiada kewujudan rakyat Palestin”, menuduh mereka sebagai pendatang Arab yang “menyebarkan keganasan”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×