BRUSSELS: Menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) dijangka membincangkan cadangan melatih 3,000 pegawai polis Palestin untuk ditempatkan di Gaza, menurut dokumen rasmi yang diperoleh Reuters menjelang mesyuarat blok itu pada 20 November.
Cadangan yang disediakan oleh perkhidmatan diplomatik EU itu merangkumi pilihan sokongan terhadap pelan 20 mata bagi Gaza yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Walaupun Israel dan Hamas bersetuju dengan fasa pertama pelan tersebut pada Oktober, pelaksanaan langkah seterusnya masih tidak menentu.
Dokumen Perkhidmatan Tindakan Luar EU (EEAS) mencadangkan pengembangan dua misi awam sedia ada di rantau berkenaan yang kini menumpukan operasi bantuan sempadan serta penyokong reformasi kepolisan dan kehakiman Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Menurut pelan itu, misi sokongan polis EU boleh menjadi peneraju dalam melatih kira-kira 3,000 pegawai polis Palestin dari Gaza yang berada di bawah gaji PA, dengan matlamat jangka panjang untuk melatih keseluruhan pasukan seramai 13,000 orang.
Dokumen tersebut turut mencadangkan peluasan misi pemantauan sempadan awam EU di Rafah ke pintu sempadan lain bagi memperkukuh kawalan dan penyelarasan keselamatan di wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, prospek pelaksanaan cadangan itu masih tidak menentu susulan perkembangan geopolitik semasa, termasuk langkah Russia yang pada Khamis mengemukakan draf resolusi sendiri di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Gaza.
Tindakan Russia itu mencabar resolusi yang disokong AS, sekali gus menimbulkan kerumitan diplomatik terhadap pelan yang digerakkan oleh Presiden Trump.










