Lampu isyarat singkat, punca kesesakan

Lampu isyarat singkat, punca kesesakan

Kesesakan di persimpangan Ampang Tinggi, Jalan Seremban-Kuala Pilah berpunca akibat lampu isyarat yang gagal berfungsi dengan baik. – UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Kesesakan jalan raya yang sering berlaku di Jalan Seremban-Kuala Pilah terutama pada hujung minggu dan cuti perayaan dikatakan juga berpunca daripada tempoh masa lampu isyarat yang singkat di persimpangan Ampang Tinggi di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi juga mendapati tempoh lampu hijau di persimpangan tersebut hanyalah beberapa saat sebelum bertukar merah, menyebabkan tidak sampai empat kenderaan sempat melepasi persimpangan berkenaan.

Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kelancaran trafik malah meningkatkan risiko kemalangan terutama pada waktu puncak apabila jumlah kende­raan bertambah.

Seorang pengguna jalan raya, Nur Amira Mohd. Aziz, 24, berkata, masalah berke­naan sudah berlarutan sejak sekian lama dan menimbulkan kesulitan kepada pengguna ha­rian yang terpaksa melalui jalan tersebut.

“Lampu isyarat itu kejap sahaja (bernyala) hijau. Lepas tiga, empat kereta lepas, terus bertukar merah balik. Hari biasa atau cuti umum, tetap sesak.

“Saya akan lalu di jalan itu untuk ke Seremban dan Kuala Lumpur. Kalau musim cuti persekolahan dan cuti umum, perjalanan 30 minit akan bertukar kepada sejam,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Nur Amira, kelewatan lampu isyarat berfungsi dengan betul juga menyebabkan pemandu mengambil risiko memecut ketika lampu bertukar kuning kerana bimbang terpe­rangkap dalam kesesakan panjang.

Seorang penduduk, Nur Syahili Ramli, 30, berkata, keada­an itu jauh lebih teruk ketika musim perayaan hingga pihak berkuasa terpaksa menukar laluan kepada satu hala.

“Ia hanya membuatkan jalan bertambah sesak, terutama dari Kuala Pilah ke Seremban. Lampu isyarat tersebut perlu dise­laras semula atau memasang sensor yang baharu bagi mengatasi masalah ini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×