Matrade, MTC jana potensi eksport RM177.56 juta

Matrade, MTC jana potensi eksport RM177.56 juta

matrade
MATRADE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) menjana RM177.56 juta potensi eksport melalui Program Pencarian Antarabangsa (INSP) di Malaysian Wood Expo (MWE) 2025.

Penjanaan itu diperoleh melalui 358 mesyuarat perniagaan antara 50 pengeksport Malaysia dan 78 pembeli luar negara dari 27 buah negara. 

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Seri Mohd. Mustafa Abdul Aziz berkata, kerjasama strategik adalah penting dalam memacu pertumbuhan eksport yang mampan bagi industri Malaysia. 

“Kerjasama ini membuktikan bagaimana usaha kolektif dapat melonjakkan industri kayu Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. 

“Eksport kayu dan produk berasaskan kayu Malaysia, termasuk perabot kayu, mencatat peningkatan lima peratus kepada RM22.92 bilion pada 2024, menunjukkan daya tahan industri dan permintaan berterusan dari pasaran global. 

“Pertumbuhan ini membuktikan kejayaan pengeksport Malaysia mengamalkan pendekatan lestari dan berasaskan nilai untuk memenuhi permintaan global,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata, produk berasaskan kayu Malaysia diperoleh secara bertanggungjawab dan diperakui penting bagi memenuhi piawaian alam sekitar antarabangsa serta kepercayaan pasaran jangka panjang. 

“Ini memandangkan pembeli global semakin mementingkan kelestarian dan kebolehkesanan.

“Destinasi eksport utama termasuk Jepun, Singapura dan Australia, di mana pembeli semakin mengiktiraf kualiti dan kredibiliti produk kayu diperakui Malaysia.”

“Penyertaan kukuh pembeli dari pasaran pertumbuhan utama seperti Mesir, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkiye bukan sahaja mencerminkan kejayaan usaha kepelbagaian pasaran Malaysia, tetapi turut menunjukkan minat serta keyakinan yang semakin meningkat terhadap produk berasaskan kayu Malaysia yang berkualiti tinggi dan dihasilkan secara mampan,” ujarnya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Noraihan Abdul Rahman turut menekankan tumpuan industri terhadap inovasi dan teknologi. 

“Industri berasaskan kayu Malaysia terus berkembang selaras dengan perubahan trend pasaran global yang menekankan inovasi reka bentuk dan integrasi teknologi baharu.

“Melalui inisiatif seperti Malaysian Wood Expo, MTC berhasrat membantu pemain industri menyesuaikan diri dengan perubahan ini, sama ada melalui sistem pembuatan berautomasi, penggunaan teknologi terkini atau platform digital untuk mencapai pembeli global. 

“Produk berasaskan kayu Malaysia bukan sahaja terkenal dengan kualiti dan ketahanannya, tetapi juga reka bentuk inovatif serta sumber yang bertanggungjawab. 

“Dengan menerima pakai teknologi dan amalan mampan, pengeksport kita boleh menempatkan diri sebagai pemain bertaraf dunia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×