Ketagihan digital beri kesan kepada sahsiah remaja?

Ketagihan digital beri kesan kepada sahsiah remaja?

TEKNOLOGI bukanlah punca utama kepada keruntuhan moral remaja, tetapi penggunaan tanpa panduan dan kawalan yang bijak telah menjadikannya ancaman kepada kesejahteraan sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKEMBANGAN teknologi komunikasi masa kini telah membawa perubahan besar terhadap cara hidup masyarakat, terutamanya golongan remaja. Namun, di sebalik kemudahan yang ditawarkan oleh gajet dan media sosial, muncul pula fenomena membimbangkan peningkatan kes rogol, buli, dan pembunuhan yang melibatkan pelajar sekolah. Keadaan ini menimbulkan persoalan serius tentang sejauh mana pendedahan terhadap teknologi mempengaruhi pembentukan akhlak dan nilai moral generasi muda.

Pendedahan tanpa kawalan terhadap pelbagai platform media sosial telah menyebabkan remaja mudah terpengaruh dengan kandungan berunsur negatif seperti keganasan, pornografi serta budaya hedonistik yang memuja populariti dan keseronokan segera. Dalam usaha meniru gaya hidup yang dipaparkan di alam maya, sebahagian pelajar mula menunjukkan tingkah laku agresif, tidak berdisiplin dan hilang rasa empati terhadap orang lain.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya dalam talian turut menjadi faktor penyumbang utama. Remaja yang ingin diterima dalam kelompok sosial maya sanggup melakukan tindakan ekstrem semata-mata untuk meraih perhatian atau populariti. Fenomena ini seterusnya melahirkan gejala buli siber dan cabaran berbahaya yang sering tular dalam kalangan pengguna muda.

Kurangnya pengawasan ibu bapa juga mempercepatkan penyebaran gejala ini. Dalam kesibukan kerjaya, ramai ibu bapa membiarkan anak-anak menghabiskan masa bersama gajet tanpa had masa atau semakan kandungan. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan perkembangan emosi dan sosial anak-anak, malah melemahkan hubungan kekeluargaan yang sepatutnya menjadi benteng pertama dalam pembentukan sahsiah diri.

Bagi mengekang permasalahan ini, pelbagai pihak perlu memainkan peranan yang seimbang. Ibu bapa harus melaksanakan kawalan dan bimbingan secara berterusan terhadap penggunaan gajet anak-anak. Pihak sekolah pula perlu memperkukuh program pendidikan nilai, etika digital dan kesejahteraan emosi pelajar. Sementara itu, kerajaan dan penyedia platform media sosial wajar memperketat undang-undang serta penapisan kandungan bagi melindungi pengguna bawah umur daripada terdedah kepada unsur tidak sihat.

Teknologi bukanlah punca utama kepada keruntuhan moral remaja, tetapi penggunaan tanpa panduan dan kawalan yang bijak telah menjadikannya ancaman kepada kesejahteraan sosial. Justeru, pembentukan generasi muda yang celik digital dan berakhlak mulia perlu dijadikan keutamaan dalam usaha memastikan kemajuan teknologi selari dengan kemantapan nilai insan. – UTUSAN

ILINADIA JAMIL
Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×