PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penjualan dan pengiklanan produk ASGG Gluta Genc Glow Gummies selepas didapati mengandungi bahan aktif yang melanggar Akta Makanan 1983.
KKM dalam kenyataan berkata, produk tersebut mengandungi Glutathione iaitu bahan yang tidak tersenarai dalam Jadual Kedua Belas, Peraturan 26, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 sebagai nutrien yang dibenarkan ditambah ke dalam makanan.
“Bahan ini tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam makanan dan sebarang produk mengandungi Glutathione perlu berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Di bawah Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983, pelanggaran boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya,” katanya.
Dalam pada itu, KKM mengingatkan semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk ini diarahkan menghentikan serta-merta penjualan produk berkenaan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat untuk urusan penyitaan.
Menurutnya, bagi platform pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial wajib menghentikan penyiaran iklan produk ini serta-merta.
“Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini perlu menghentikan penggunaannya serta-merta dan mendapatkan nasihat atau rawatan daripada ahli profesional kesihatan.
“Pengguna diingatkan supaya berhati-hati dan memastikan produk makanan yang dibeli tidak dicampur bahan yang tidak dibenarkan,” katanya.
Sebarang kemusykilan atau laporan berkaitan keselamatan makanan boleh disalurkan melalui PKD,Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melaporkan melalui Portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook rasmi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM). – UTUSAN










