GENEVA: Penapis plastik dalam rokok dianggap punca pencemaran terbesar di dunia dengan bahan kimia toksiknya meresap ke dalam alam sekitar dan pecah menjadi mikroplastik.
Situasi itu mencetuskan cadangan penghapusan sepenuhnya penggunaan penapis plastik dalam persidangan kawalan tembakau global minggu depan.
Ketua sementara sekretariat Konvensyen Kerangka Kerja WHO bagi Kawalan Tembakau (FCTC), Andrew Black berkata, plastik pada penapis rokok bukan sahaja mencemarkan alam sekitar tetapi juga memberi manfaat yang sangat terhad kepada perokok.
Katanya, setiap tahun sebanyak 4.5 trilion puntung rokok dibuang ke merata tempat, menjadi penyumbang utama mikroplastik dan pencemaran toksik.
Ketua WHO bagi persekitaran dan perubahan iklim, Rudiger Krech berkata, larangan penggunaan plastik ini perlu dilaksanakan segera bagi melindungi perairan dan ekosistem.
Persidangan ke-11 FCTC di Geneva dari 17 hingga 22 November juga membincangkan impak kesihatan akibat tembakau yang meragut lebih tujuh juta nyawa setahun, serta peningkatan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
WHO menganggarkan lebih 100 juta orang menggunakan rokok elektronik, termasuk 15 juta remaja berumur 13 hingga 15 tahun.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberi amaran industri tembakau cuba ‘mengganggu persidangan demi keuntungan’, sementara produk mereka semakin menarik minat kanak-kanak melalui reka bentuk dan rasa manis.
WHO menuntut larangan menyeluruh terhadap pengiklanan, promosi dan penajaan produk tembakau, termasuk rokok elektronik dan pek nikotin.










