SRINAGAR: Sembilan maut manakala 31 lagi cedera apabila bahan letupan yang dirampas meletup secara tidak sengaja di sebuah balai polis di Nowgam, Kashmir yang ditadbir India, lewat malam Jumaat. Kejadian tragis itu berlaku hanya beberapa hari selepas letupan kereta di New Delhi meragut sekurang-kurangnya 12 nyawa.
Menurut polis, bahan letupan berkenaan sebelum itu dibawa dari Faridabad, Haryana, awal minggu ini untuk dianalisis, hanya beberapa jam sebelum insiden letupan dahsyat yang menggemparkan ibu negara India.
Ketua Pengarah Polis wilayah itu, Nalin Prabhat, berkata sampel bahan tersebut dihantar untuk pemeriksaan forensik sejak Khamis dan seluruh proses dikendalikan dengan penuh berhati-hati berikutan sifatnya yang “tidak stabil dan sensitif”.
“Namun, malangnya sekitar pukul 11.20 malam Jumaat, letupan tidak disengajakan berlaku. Sebarang spekulasi tambahan mengenai punca kejadian ini adalah tidak perlu,” katanya ketika sidang media.
Mangsa yang terkorban termasuk anggota polis, pasukan forensik, dua jurufoto jenayah dan beberapa anggota pentadbiran tempatan. Letupan kuat itu turut merosakkan bangunan balai polis secara serius serta mengakibatkan kerosakan pada bangunan berhampiran.
Insiden tersebut berlaku hanya beberapa hari selepas letupan bom di New Delhi yang mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan 30 yang lain, dalam kejadian yang disifatkan paling signifikan sejak serangan 22 April di Pahalgam yang meragut 26 nyawa, kebanyakannya penganut Hindu.
Kerajaan India sebelum ini berikrar untuk memburu “pelaku, rakan sekutu serta penaja” letupan kereta di ibu negara itu dan menyifatkan serangan berkenaan sebagai tindakan keganasan yang mesti dibawa ke muka pengadilan.










