GAZA CITY: Hujan pertama musim sejuk membawa malapetaka kepada ribuan penduduk Gaza apabila khemah-khemah usang yang menjadi tempat berteduh mereka gagal menahan ribut, lalu koyak dan musnah, meninggalkan keluarga terdedah tanpa sebarang perlindungan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam sekelip mata, kanvas lusuh bertukar menjadi lopak berlumpur yang memerangkap kaki kanak-kanak, manakala ibu-ibu berkejaran menyelamatkan sedikit kelengkapan tidur yang masih ada.
Keadaan bertambah buruk apabila ribut awal pagi Jumaat itu menenggelamkan ratusan khemah dan sekali lagi menonjolkan krisis kemanusiaan yang berlarutan sejak dua tahun akibat serangan Israel.
Ketiadaan infrastruktur asas memaksa keluarga di kem pelarian menyusun batu dan pasir bagi meninggikan alas tidur, sementara yang lain mencari sudut-sudut kering untuk berteduh. Mereka terus terkurung di belakang “garisan kuning”, iaitu garis pengunduran yang ditetapkan dalam perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, yang menghadkan pergerakan rakyat Palestin.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, sekitar 93 peratus daripada 135,000 khemah penempatan tidak lagi sesuai didiami, dengan 125,000 daripadanya rosak atau musnah akibat serangan udara serta faktor cuaca. Penduduk terus bergelut dengan kekurangan makanan, bekalan asas dan ketiadaan perkhidmatan penting di bawah sekatan Israel yang berterusan.
Abu Alaa, seorang warga emas Palestin, berkata beliau kini tidak mempunyai arah untuk dituju selepas khemahnya dinaiki air, manakala rumahnya di utara Gaza sudah musnah dan dihalang tentera Israel untuk kembali ke sana. Beliau merayu mendapatkan khemah baharu kerana tiada tempat lain yang boleh dituju.
Nasib sama menimpa Mohammed al-Jarousha yang berkata beliau tidak mampu membeli plastik untuk menutup khemah kanvasnya yang bocor ketika ribut. Seorang lagi penduduk, Sabir Qawas, terpaksa tinggal di jalanan selepas khemahnya runtuh, sedangkan anak perempuannya yang berusia dua tahun sedang berjuang melawan kanser tanpa bantuan mencukupi.
Sejak hampir dua tahun serangan Israel, puluhan ribu khemah telah rosak atau musnah akibat serangan udara dan angin kencang musim sejuk. Serangan sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 69,000 nyawa rakyat Palestin.










