Iran hantar surat kepada PBB, dakwa AS arah Israel serang Teheran - Utusan Malaysia

Iran hantar surat kepada PBB, dakwa AS arah Israel serang Teheran

Pasukan penyelamat bekerja di tengah runtuhan bangunan selepas serangan peluru berpandu Iran di bandar Bat Yam, selatan Tel Aviv, awal pagi 15 Jun 2025. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menerusi surat rasmi kepada pemimpin utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa Amerika Syarikat (AS) mengarahkan serangan Israel terhadap negaranya, lapor agensi Anadolu.

Surat berkenaan yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung PBB, António Guterres dan Presiden Majlis Keselamatan PBB menyatakan Washington bertanggungjawab atas serangan Israel pada 13 Jun lalu yang mencetuskan perang selama 12 hari antara dua musuh ketat itu.

Tindakan itu susulan kenyataan Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini yang mendakwa beliau ‘sangat mengawal’ serangan Israel terhadap Iran.

Araghchi menyifatkan kenyataan Trump tersebut sebagai bukti jelas AS mengetuai dan mengawal tindakan yang didakwanya sebagai serangan haram oleh Israel, yang mengorbankan lebih 1,000 rakyat Iran termasuk komander tentera kanan dan saintis nuklear terkemuka.

Menurut surat tersebut, serangan itu melanggar Artikel 2 Piagam PBB kerana ianya melibatkan serangan tidak berpilih terhadap orang awam termasuk hospital, ambulans, penyiar negara, penjara serta infrastruktur tenaga dan fasiliti nuklear yang berada di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Surat itu menegaskan tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar Piagam PBB, tetapi juga Dokumen Akhir Persidangan Semakan Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT), resolusi berkaitan IAEA termasuk Resolusi 444 dan 533, serta Resolusi Majlis Keselamatan PBB 487 (1981).

Araghchi menegaskan tanggungjawab tidak hanya terletak pada Israel, tetapi juga AS yang mengarah dan mengawal serangan tersebut.

Beliau menuntut kerajaan AS membayar ganti rugi sepenuhnya terhadap kerosakan material dan moral yang ditanggung Iran, termasuk pemulihan keadaan seperti sebelum serangan serta pampasan mengikut prinsip undang-undang antarabangsa.

Beliau turut memberi amaran Trump dan mana-mana pegawai AS yang terlibat boleh dipertanggungjawabkan secara peribadi atas dakwaan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk melakukan pencerobohan, mengarahkan serangan terhadap orang awam wanita, kanak-kanak, saintis, ahli akademik, wartawan dan banduan serta menyasarkan pegawai tentera di luar zon pertempuran.

Iran berhak sepenuhnya untuk mengambil semua langkah undang-undang bagi memastikan negara dan individu bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya serta menuntut pampasan atas semua kerosakan semasa perang, menurut surat itu.

Hubungan antara Teheran dan Washington kini semakin tegang sejak peperangan tersebut, dengan rundingan nuklear turut digantung dan Iran menegaskan rundingan hanya akan disambung selepas AS memberi jaminan proses itu tidak akan digagalkan lagi.

Washington pula menuntut Iran menyertai rundingan langsung mengenai program nuklearnya sambil mendakwa infrastruktur nuklear Iran mengalami kerosakan besar akibat tiga serangan AS ke atas tapak nuklear utama sepanjang perang 12 hari itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×