Jun Hao, Justin ada masalah - Jonassen

Jun Hao, Justin ada masalah – Jonassen

Leong Jun Hao
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan yang bukan sekali tetapi berulang kali menimpa pemain badminton perseorangan, Leong Jun Hao dan Justin Hoh pada pusingan awal Jelajah Dunia, telah meletakkan Malaysia kini tidak lagi digeruni lawan.

Kekalahan terbaharu di peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun, kelmarin, juga telah mengundang kritikan hebat dalam kalangan peminat yang menggesa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bertindak tegas terhadap pemain yang berterusan mempamerkan prestasi suram.

Bukan sahaja peminat, individu yang paling hampa ialah Pengarah Kejurulatihan Pemain Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen apabila menyaksikan dua anak buahnya tersingkir lagi di pusingan pertama.

Justin Hoh

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Jonassen berkata, kedua-dua pemain tersebut memiliki masalah berbeza dan memerlukan ‘kerja rumah’ bagi meningkatkan kembali prestasi buruk mereka.

“Untuk Leong (Jun Hao), dia telah mencurahkan segala-galanya dalam perlawanan, semalam (kelmarin), tetapi sekali lagi dia tewas dalam rubber game,” katanya di sini, semalam.

Menurut jurulatih kelahiran Denmark itu, pemain yang menghuni ranking No. 22 dunia tersebut tidak cukup laju dan tahap kecergasan juga tidak mencapai standard yang dimahukannya.

Katanya, jika Jun Hao mahu bermain lebih lama dalam gelanggang dan melangkah lebih jauh dalam sesebuah kejohanan, dia perlu perbaiki tahap kecergasannya.

Mengulas pula mengenai Justin, pemain ke-36 dunia itu masih terperangkap dengan gaya permainan baharu yang mahu diterapkannya.

“Saya lihat dia keliru dengan corak permainannya sendiri gara-gara hendak mencuba teknik baharu, saya percaya Justin akan lebih konsisten pada masa akan datang jika berjaya mendapatkan apa yang dia mahukan,” katanya.

Jonassen berkata, proses yang dilalui para pemainnya memerlukan masa untuk meningkatkan kualiti permainan masing-masing.

Namun, katanya, beliau tidak menolak dalam proses untuk menuju kepada peralihan itu, para pemain akan berasa kecewa jika mereka gagal menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×