MELAKA: Sambutan positif golongan muda terhadap Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini bakal mengubah beberapa analisis keputusan sebelum ini.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, pemerhatiannya sepanjang mengunjungi 11 pusat mengundi dan lapan pusat daerah mengundi (PDM) mendapati penerimaan golongan muda terhadap PH semakin baik berbanding pilihan raya sebelum ini.
Beliau berkata, ia termasuk kehadiran pengundi muda yang dilihat agak tinggi hari ini, sekali gus memberi gambaran berbeza terhadap corak sokongan pengundi.
“Ya, kalau kita lihat dalam pilihan raya yang lalu. Kadang-kadang lawan kita pukul 3 dia dah isytiharkan kemenangan dan sebagainya. Tapi kalau kita lihat hari ini peratus anak muda terutamanya keluar mengundi agak tinggi juga.
“Jadi akhirnya kita akan tentukan keputusan ini berdasarkan selepas kita menutup pusat-pusat daerah mengundi kita. Jadi saya harap peratus yang kita boleh capai itu agak tinggi dan bilangan anak muda yang keluar mengundi untuk buat keputusan itu mungkin boleh memberikan sedikit kelebihan kepada PH,” katanya.
Beliau ditemui selepas selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal di sini hari ini.
Adly berkata, PH menyasar mempertahankan kemenangan di tiga kerusi kubu kuat iaitu Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Beliau berkata, meskipun terdapat kawasan yang mencatatkan peratusan keluar mengundi lebih rendah, keadaan itu tidak semestinya menggambarkan sokongan pengundi terhadap PH semakin merosot.
“Saya tidak pasti secara keseluruhannya, tetapi menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memang terdapat kekurangan (peratusan keluar mengundi) di kawasan berkenaan.
“Saya fikir sebahagiannya mungkin disebabkan masyarakat yang bekerja dalam bidang perniagaan dan sebagainya, jadi mereka mungkin mengambil masa untuk keluar mengundi pada sebelah petang,” katanya. – UTUSAN










