LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menegaskan beliau masih mengetuai ‘Kabinet yang kukuh’, selepas timbul khabar angin mengenai beberapa menteri dalam kerajaan merancang untuk menyingkirkannya.
Kenyataan Starmer dibuat selepas sumber daripada Downing Street menyatakan pemimpin Britain itu akan menangkis sebarang cabaran kepimpinan, berikutan taklimat sulit mendedahkan ketegangan dalam kerajaan yang sedang bergolak.
Spekulasi itu muncul menjelang pembentangan belanjawan bulan ini, yang dijangka menyaksikan Parti Buruh melanggar beberapa janji manifesto.
“Ini pasukan bersatu,” kata Starmer di Parlimen, sambil menegaskan fokusnya terhadap usaha membina semula negara.
Menteri Kesihatan, Wes Streeting, menafikan terlibat dalam ‘plot menggulingkan’ Starmer dan menegaskan sokongan padu terhadap perdana menteri itu sejak beliau dipilih sebagai ketua parti.
Streeting, 42, dianggap antara ahli Buruh yang berprestasi dan sering disebut sebagai calon pengganti Starmer, bersama beberapa menteri lain termasuk Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood.
Starmer memberitahu Parlimen, serangan terhadap mana-mana anggota Kabinetnya adalah ‘tidak boleh diterima’ dan memuji Streeting kerana melakukan tugas dengan cemerlang.
Sky News melaporkan, Starmer turut memohon maaf kepada Streeting selepas beliau terpalit tuduhan merancang untuk mengadakan rampasan kuasa.
Beliau dilaporkan sempat berbincang secara ringkas dengan Streeting pada malam Rabu, namun tidak mendedahkan butiran mengenai kempen taklimat yang dijalankan.
Starmer membawa Parti Buruh meraih kemenangan besar ke atas Parti Konservatif pada Julai tahun lalu, mengembalikan parti tengah-kiri itu memerintah buat kali pertama dalam 14 tahun.
Bagaimanapun, populariti kerajaan dan kedudukan peribadi Starmer dalam kalangan rakyat Britain merosot, susulan cabaran dalam isu-isu utama seperti pertumbuhan ekonomi dan imigresen.
Starmer kini perlu mengemudi belanjawan sukar pada 26 November, apabila Menteri Kewangan, Rachel Reeves, dijangka menaikkan cukai pekerja walaupun sebelum ini berjanji tidak akan berbuat demikian sebelum pilihan raya. – AGENSI










