Dua bilion populasi dunia tinggal berdekatan tapak bahan api fosil

Dua bilion populasi dunia tinggal berdekatan tapak bahan api fosil

KUMPULAN aktivis mengadakan demonstrasi bantah pelaburan terhadap bahan api fosil di luar ibu pejabat Bank Dunia di Washington. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Sekurang-kurangnya dua bilion penduduk dunia, atau satu per empat daripada populasi global tinggal dalam lingkungan lima kilometer dari tapak projek bahan api fosil aktif, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko kesihatan serius serta ancaman terhadap ekosistem penting.

Laporan Amnesty International mendedahkan lebih 18,300 tapak minyak, gas dan arang batu kini beroperasi di 170 negara, meliputi kawasan daratan yang amat luas di seluruh dunia.

Kajian itu mendapati hampir 463 juta orang, termasuk 124 juta kanak-kanak, kini tinggal dalam jarak satu kilometer daripada kemudahan bahan api fosil seperti telaga penggerudian, loji pemprosesan dan saluran paip.

Lebih 3,500 tapak baharu dirancang atau dalam pembinaan yang dijangka menjejaskan 135 juta lagi penduduk dengan pencemaran asap, gas pembakaran dan tumpahan bahan api.

Amnesty International mem­beri amaran kebanyakan projek ini mewujudkan zon korban, kawasan yang teruk tercemar dengan komuniti berpendapatan rendah dan kumpulan terpinggir menanggung beban pendedahan toksik paling berat.

Laporan itu turut memperincikan kesan buruk terhadap kesihatan manusia termasuk peningkatan risiko kanser, penyakit jantung, gangguan pernafasan, kelahiran pramatang dan kematian awal, di samping kemusnahan sistem air, udara dan tanah akibat kebocoran, pembakaran gas serta kerja pembinaan.

“Industri bahan api fosil bersama penajanya sudah selama beberapa dekad mendakwa pembangunan manusia memerlukan bahan api fosil. Namun, di sebalik alasan pertumbuhan ekonomi, mereka sebenarnya mengutamakan keuntungan tanpa batas, merosakkan alam sekitar dan melanggar hak asasi manusia dengan hampir tiada rasa tanggungjawab,” kata Setiausaha Agung Amnesty International, Agnès Callamard.

Beliau menyeru para pemimpin dunia yang berhimpun di Belém, Brazil bagi rundingan iklim COP30 supaya mengutamakan manusia, bukan keuntungan, dengan komitmen untuk menamatkan penggunaan bahan api fosil secara menyeluruh, adil dan terancang, serta mempercepat peralihan kepada tenaga lestari.

Laporan itu turut memuatkan testimoni masyarakat pribumi di Kanada, Senegal, Colombia, Brazil dan Ecuador, yang mendedahkan kes ketidakadilan alam sekitar, rampasan tanah dan perpecahan komuniti akibat pengembangan industri bahan api fosil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×