AS rancang bina pangkalan tentera dekat sempadan Gaza - Utusan Malaysia

AS rancang bina pangkalan tentera dekat sempadan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Amerika Syarikat (AS) merancang membina pangkalan tentera bernilai AS$500 juta (RM2 bilion) di kawasan sempadan Gaza bagi memantau pelaksanaan perjanjian gencatan senjata di wilayah Palestin..

Akhbar harian Yedioth Ahronoth memetik pegawai Israel sebagai berkata, Washington berhasrat menubuhkan pangkalan berskala besar berhampiran sempadan Gaza, langkah yang dianggap sebagai peningkatan ketara penglibatan ketenteraan AS di Israel.

Menurut laporan itu, pangkalan tersebut akan menempatkan pasukan petugas antarabangsa yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata Gaza untuk memantau pelaksanaan rundingan damai di dalam wilayah berkenaan.

Beberapa ribu anggota tentera AS dijangka ditempatkan di pangkalan itu sekaligus menjadikannya pangkalan tentera pertama berskala besar milik AS di tanah Israel, sekali gus menandakan komitmen baharu Washington terhadap usaha penstabilan pasca perang di Gaza.

Sebelum ini, ketika konflik berdarah Gaza berlangsung, AS telah memasang sistem pertahanan peluru berpandu THAAD di Israel yang digunakan bagi memintas serangan peluru berpandu dan dron Iran semasa ketegangan selama 12 hari antara kedua-dua negara.

“Penubuhan pangkalan AS di wilayah Israel menunjukkan sejauh mana Washington bertekad untuk terus terlibat dalam urusan Gaza dan konflik Israel-Palestin secara keseluruhan,” kata seorang pegawai Israel kepada Yedioth Ahronoth.

Namun, beberapa pegawai AS termasuk Naib Presiden JD Vance sebelum ini menegaskan tiada tentera negara itu akan ditempatkan di Gaza.

Buat masa ini, kira-kira 200 anggota tentera AS berada di Pusat Penyelarasan Sivil-Ketenteraan (CMCC) yang dibiayai Washington di Kiryat Gat, selatan Israel, bagi memantau pelaksanaan gencatan senjata.

Perjanjian gencatan senjata Gaza mula berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, berasaskan pelan 20 perkara yang dicadangkan oleh Presiden AS Donald Trump, termasuk pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin serta rancangan pembinaan semula wilayah tersebut tanpa penglibatan kumpulan Hamas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×