GENEVA: Penyakit batuk kering atau tuberkulosis (Tibi) terus menjadi pembunuh berjangkit nombor satu dunia apabila meragut kira-kira 1.23 juta nyawa pada tahun lalu, menurut laporan terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dalam laporan tinjauan tahunan yang dikeluarkan semalam, WHO berkata, jumlah kematian akibat penyakit itu menunjukkan penurunan sebanyak tiga peratus berbanding 2023, manakala jumlah kes baharu menurun hampir dua peratus.
Dianggarkan seramai 10.7 juta penduduk dunia dijangkiti tibi pada 2024, melibatkan 5.8 juta lelaki, 3.7 juta wanita dan 1.2 juta kanak-kanak.
Tibi disebabkan oleh jangkitan bakteria yang lazimnya menyerang paru-paru dan boleh merebak melalui udara apabila pesakit batuk, bersin atau meludah.
Walaupun penyakit ini boleh dicegah dan dirawat, WHO memberi amaran kemajuan dalam membendungnya masih rapuh dan berisiko terbantut.
Ketua Jabatan HIV, TB, Hepatitis dan Jangkitan Seksual WHO, Dr. Tereza Kasaeva, berkata komitmen politik, pelaburan berterusan serta perpaduan global amat diperlukan untuk menamatkan penularan penyakit tersebut. Katanya, pembiayaan bagi usaha pencegahan dan rawatan penyakit itu tidak menunjukkan peningkatan sejak 2020.
“Tahun lalu hanya AS$5.9 bilion (RM27.7 bilion) diperuntukkan bagi pencegahan, diagnosis dan rawatan, jauh daripada sasaran AS$22 bilion (RM103.2 bilion) setahun menjelang 2027,” katanya.
Beliau turut memaklumkan lapan negara menyumbang dua pertiga daripada jumlah kes global iaitu India, Indonesia, Filipina, China, Pakistan, Nigeria, Republik Demokratik Congo dan Bangladesh.
Menurut WHO, lima faktor utama yang mendorong penularan Tibi ialah kekurangan nutrisi, jangkitan HIV, diabetes, tabiat merokok dan pengambilan alkohol.
Tibi juga menjadi penyebab kematian utama dalam kalangan penghidap HIV dengan 150,000 kematian dicatatkan tahun lalu.
Pada 2024, seramai 8.3 juta pesakit baharu menerima rawatan Tibi iaitu jumlah tertinggi yang pernah direkodkan. WHO menyifatkan peningkatan kadar rawatan daripada 68 peratus kepada 71 peratus sebagai satu kejayaan besar, dengan anggaran 83 juta nyawa berjaya diselamatkan sejak tahun 2000.
Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata kemajuan dalam ujian, rawatan dan penyelidikan memberi harapan baharu, namun masih jauh daripada mencukupi.
“Fakta lebih sejuta orang masih meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit yang boleh dicegah dan dirawat ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” tegasnya.
Setakat Ogos lalu, sebanyak 63 ujian diagnostik dan 29 ubat sedang menjalani ujian klinikal, manakala 18 calon vaksin kini diuji ke atas manusia, termasuk enam yang berada di Fasa III, iaitu peringkat terakhir sebelum kelulusan rasmi.










