TEL AVIV: Presiden Israel, Isaac Herzog mendedahkan beliau menerima sepucuk surat daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang meminta supaya Perdana Menteri Benjamin Netanyahu diberi pengampunan berhubung tiga kes rasuah yang dibicarakan di mahkamah.
Netanyahu yang berdepan pertuduhan rasuah, penipuan dan salah guna kuasa dalam tiga kes berasingan berulang kali menafikan sebarang salah laku, manakala penyokongnya menyifatkan pendakwaan itu bermotifkan politik.
Menurut kenyataan rasmi Pejabat Presiden Israel, surat Trump itu diterima pada pagi Rabu dan menyeru Herzog mempertimbangkan pengampunan penuh terhadap Netanyahu.
“Dalam surat itu, Presiden Trump menulis beliau berbuat demikian pada ‘waktu bersejarah’, selepas bersama-sama ‘mencapai keamanan yang telah dicari selama sekurang-kurangnya 3,000 tahun’,” kata kenyataan itu.
“Saya dengan ini menyeru anda supaya memberikan pengampunan sepenuhnya kepada Benjamin Netanyahu, seorang Perdana Menteri yang tegas dan berwibawa pada waktu perang,” tulis Trump dalam surat berkenaan, sambil menyifatkan perbicaraan terhadap Netanyahu sebagai “pendakwaan politik yang tidak berasas.”
Netanyahu dan isterinya, Sara, dituduh menerima hadiah mewah bernilai lebih AS$260,000 seperti cerut, barang kemas dan arak premium daripada beberapa ahli perniagaan terkenal sebagai balasan untuk mendapatkan kelebihan politik.
Dalam dua kes lain, beliau didakwa cuba mempengaruhi liputan media bagi memihak kepada dirinya.
Walaupun menyatakan penghargaan tinggi terhadap Trump dan sokongan kukuhnya terhadap Israel, pejabat Herzog menjelaskan sebarang pengampunan presiden mesti dikemukakan secara rasmi mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Sepanjang penggalnya yang bermula lewat 2022, Netanyahu pernah mencetuskan kontroversi dengan cadangan pembaharuan kehakiman yang dikritik sebagai usaha melemahkan sistem perundangan Israel hingga mencetuskan protes besar-besaran sebelum perang Gaza tercetus pada Oktober 2023.










